Adakah anda seorang peminat sukan tinju?

Walaupun ramai berpendapat sukan pertempuran itu sudah merundum dari aspek populariti, tempoh satu bulan yang terakhir ini sudah mula menampakkan sedikit kebangkitan dengan berlangsungnya dua perlawanan gergasi.

Pada hujung minggu lepas, dua ahli tinju terhebat masa kini iaitu jaguh dari Mexico, Saul “Canelo” Alvarez dan bintang Kazakhstan Gennady “Triple G” Golovkin bertembung dalam satu perlawanan berakhir dengan keputusan seri yang penuh kontroversi.

Penghujung bulan lepas pula, satu perlawanan terbesar dalam sukan pertempuran berlangsung menemukan legenda tinju dunia Floyd Mayweather berjaya mengalahkan johan gabungan seni bela diri (MMA), Conor McGregor di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat.

Kini, seperti juga McGregor, seorang lagi bintang dari sukan berlainan akan menjejakkan kaki ke gelanggang tinju. Bezanya, bintang ini bukanlah merupakan atlit dari sukan pertempuran.


DULU GUNA KAKI, KINI GUNA TANGAN

Selepas dua tahun mengesahkan persaraan dari dunia bola sepak, bekas pemain pertahanan pasukan Manchester United dan England, Rio Ferdinand bakal melibatkan diri dengan sukan tinju professional pula. Ferdinand mula mengumumkan berita tersebut di laman sosial Instagram miliknya semalam.

It's happening... Can’t wait to get started with the team @betfair have put together, Richie Woodhall and @meldeane12 #DefenderToContender ?

A post shared by Rio Ferdinand (@rioferdy5) on


Daily Mail pula melaporkan langkah Ferdinand ini adalah sebahagian daripada cabaran ‘Defender to Contender’ yang dianjurkan oleh syarikat pertaruhan Betfair. Bintang berusia 38 tahun itu berazam untuk bersaing merebut tali pinggang kejuaraan tidak lama lagi.

Tinju adalah satu sukan yang menakjubkan bagi minda dan badan. Saya sememangnya dari dahulu lagi mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan ini dan cabaran ini adalah medan terbaik buat saya untuk mempamerkan segala kemungkinan yang bakal terjadi,” ujar Ferdinand yang pernah membuat 455 penampilan bersama pasukan terkemuka dunia, Manchester United.

Betfair menyediakan satu pasukan pakar tinju untuk melatih Ferdinand yang diketuai oleh bekas juara super-middleweight WBC, Richie Woodhall.

“Secara jujurnya, sekiranya diberikan masa, saya rasa Rio sememangnya mampu bertinju. Dia mempunyai kekuatan semula jadi pada tangan kanannya, berada pada keadaan yang sangat cergas dan sangat bersemanggat untuk belajar dan itu adalah sesuatu yang perkembangan yang menggalakkan.

“Daripada sudut gaya pula, dia masih lagi mentah dan perlu dibentuk oleh saya. Ini memerlukan sedikit masa tetapi dia mempunyai segala ramuan semula jadi yang diperlukan seperti ketinggian dan kelebihan jangkauan berbanding petinju dalam divisyen yang sama. Sudah pastinya dia berpeluang memenangi kejuaraan suatu hari nanti,” ujar Woodhall.


RINDU KEMBALI BERSAING

Ferdinand pada suatu ketika karier bola sepaknya dianggap sebagai antara pemain pertahanan terbaik di dunia menyatakan dia tidak memandang ringan cabaran baru yang dihadapinya itu. Sebaliknya, dia percaya dengan keazaman yang jitu, banyak pintu kejayaan akan terbuka.

“Ramai orang hanya menonton sesuatu pertarungan atau acara sukan sambil mengatakan mereka juga boleh berbuat demikian ataupun seseorang pemain itu gagal. Mereka hanya duduk dan membuat penilaian. Saya pula akan bangun dan buat,” katanya.

Merujuk 15 piala kejuaraan yang berjaya dimenangi ketika berkecimpung dalam bidang bola sepak, Ferdinand mengakui dia rindukan persaingan dalam sukan.

“Itu adalah antara perkara utama yang saya rindukan semenjak saya bersara dari bola sepak pada tahun 2015. Saya rindukan tindak balas kimia yang hadir dari diri anda (ketika persaingan sukan). Saya belum mampu menggantikannya. Ini cara yang terbaik untuk dapatkannya kembali.

“Saya buat semua ini untuk banyak tujuan. Saya mahu menguji diri saya sebagai seorang lelaki dan sebagai seorang manusia,” tambahnya lagi.

Ferdinand menyifatkan tinju adalah satu sukan yang menakjubkan bagi minda dan badan.

ANDA TIDAK KESEORANGAN FERDINAND!

Sebenarnya, langkah Ferdinand beralih bidang sukan ke gelanggang tinju bukanlah sesuatu yang pertama kali dilakukan bagi seorang atlet sukan. Curtis Woodhouse merupakan bekas pemain bola sepak profesional yang pernah membuat 368 penampilan pada Liga Inggeris bersama pelbagai pasukan termasuk Sheffield United, Birmingham City dan Peterborough United.

Pada tahun 2006, dia memulakan kariernya sebagai seorang peninju dan akhirnya berjaya muncul sebagai juara light-welterweight Britain enam tahun kemudian.

Pada perlawanan tinju terakhirnya yang diadakan pada tahun 2014, Woodhouse berjaya membuat sejumlah 30 pertarungan dengan rekod 23 kemenangan. Woodhouse juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Ferdinand tetapi memberi amaran bahawa perjalanan yang bakal ditempuh Ferdinand bukanlah sesuatu yang mudah.

“Ketika muncul di berita Twitter saya bahawa Rio Ferdinand bakal menjadi peninju professional saya sangkakan akaunnya digodam. Ianya bukanlah sesuatu yang anda dengar setiap hari, maka saya jadi terkejutlah sedikit.

“Banyak perkara yang berlaku dalam gelanggang tinju yang anda tidak sedar selagi anda tidak memasukinya. Ianya memerlukan masa yang agak lama untuk menjadi selesa dalam gelanggang tinju,” ,” katanya kepada BBC Radio 5 Live.

Ketika bergelar pemain bola sepak, berat Ferdinand sekitar 82 kilogram. Mengikut divisyen berat badan tinju, berat berkenaan adalah untuk kategori cruiserweight.

Adakah Ferdinand akan meninggalkan impak sebesar yang berjaya dilakukan ketika beliau bermain bola sepak? Sama-sama kita nantikan kesudahannya!