Ramai yang mengenali Farah Ann Abdul Hadi sebagai atlet gimnastik negara yang berbakat besar dan mempunyai peluang cerah untuk meraih lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

Sememangnya ia menjadi kenyataan apabila atlet itu menang pingat emas menerusi acara Gimnastik Artistik Berpasukan Wanita pada kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kali ini. Kejayaan itu pastinya menjadi kebanggaan buat Malaysia dan peminat sukan tersebut.

Di sebalik kejayaan itu, Farah juga menjadi mangsa siber selepas akaun media sosialnya digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Menerusi statusnya di Twitter hari ini, Farah menyatakan akaun Instagramnya digodam dan dia tidak dapat masuk semula ke dalam akauan tersebut. Lebih malang, dia menyedari penggodam bertindak memadamkan gambar-gambarnya dalam akaun itu.

MANGSA KEDUA PENGGODAM

Apa yang berlaku pada Farah bukanlah insiden pertama kali berlaku pada individu lain yang pernah digodam menerusi akaun media sosial mahupun laman sesawang lain.

Farah menjadi mangsa kedua pengodam selepas 33 laman sesawang tempatan digodam baru-baru ini sebagai bantahan terhadap isu bendera Indonesia yang dicetak secara terbalik di dalam buku khas cenderahati Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Jumlah laman sesawang yang digodam itu disahkan pihak CyberSecurity Malaysia.

Akaun Instagram asal Farah Ann di sebelah kiri sebelum akaunnya digodam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata serangan itu adalah nyata dan CyberSecurtiy Malaysia sedang menyiasat, memantau dan berkerjasama dengan beberapa agensi lain untuk menyelesaikan insiden tersebut.

Laman-laman sesawang tersebut dipercayai digodam kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'ExtremeCrew'. Selepas menggodam, mereka juga bertindak meletakkan imej buku cenderahati Sukan SEA tersebut di setiap laman sesawang yang digodam dengan mesej 'bendera negaraku bukanlah mainan'. Lagu Kebangsaan Indonesia, "Tanah Air Beta” turut dimainkan sebagai muzik latar.

Difahamkan, kebanyakan laman sesawang yang digodam adalah milik persendirian antaranya kualalumpurmalaysia.com milik penulis motivasi Azizi Ali.

Laman sesawang kualalumpurmalaysia.com milik penulis motivasi Azizi Ali turut menjadi penggodam.

Menurut sumber pakar teknologi maklumat, laman sesawang milik persendirian sememangnya sering dijadikan sasaran penggodam kerana memiliki sistem keselamatan yang rendah dan tidak mempunyai pasukan pemantauan keselamatan.

Antara kaedah asas untuk mempertingkatkan keselamatan sistem adalah memastikan sistem operasi dan perisian dalam versi baru dan telah dikemaskini dengan 'patch' keselamatan. Selain itu, penggunaan kata keselamatan atau laluan yang kuat juga adalah amat penting.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bertemu rakan sejawatnya dari Indonesia, Imam Nahrawi memohon maaf secara rasmi kepada rakyat negara jiran itu atas kesilapan pencetakkan bendera negara itu dalam buku cenderamata khas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.