SKOP
Guna Aplikasi Unik Tangani Kemalangan Maut Di Malaysia
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikemaskini pada Mei lalu menyatakan kira-kira 1.25 juta manusia di seluruh dunia maut setiap tahun disebabkan kemalangan jalan raya. Malah, kemalangan jalan raya juga dikenal pasti sebagai punca utama kematian dalam kalangan penduduk dunia berusia antara 15 sehingga 29 tahun.
Sebahagian besar mereka membabitkan pejalan kaki, penunggang basikal dan pmotosikal. Sebanyak 90 peratus daripada kemalangan jalan raya berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Tegas WHO, tanpa tindakan yang berterusan, kemalangan jalan raya dijangka menjadi antara penyebab utama kematian di dunia menjelang 2030.
KEMALANGAN MAUT DI MALAYSIA
Syarikat peneraju insurans digital, Tune Protect semalam mendedahkan statistik kemalangan jalan raya terkini di Malaysia meningkat sebanyak 50 peratus berbanding jumlah kemalangan yang dicatatkan sedekad lalu.
Pada tahun 2016, lebih 7,100 nyawa terkorban dalam kemalangan jalan raya atau 19 kematian pada setiap hari di Malaysia. Sebanyak 81 peratus daripada kes kemalangan tersebut bagaimanapun berpunca daripada kecuaian manusia.
Pendedahan Tune Protect itu selari dengan analisis Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 95 peratus daripada kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri. Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan apakah kaedah yang benar-benar mampu meningkatkan kesedaran berkaitan isu keselamatan jalan raya dalam kalangan orang ramai.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye pernah menyatakan kebimbangannya terhadap sikap pengguna jalan raya di negara ini baru-baru ini.
Jelasnya, sikap pengguna jalan raya yang tidak sabar, kelam-kabut, suka memandu laju dan menukar lorong dengan sesuka hati, perlu diubah untuk mengurangkan kemalangan.
APLIKASI UNIK TANGANI ISU JALAN RAYA
Menyedari betapa penting menangani isu ini, Tune Protect baru-baru ini melancarkan program Cabaran ‘Safety on Streets’ (SOS) sebagai inisiatif inovatif untuk memperbaiki tahap keselamatan jalan raya di Malaysia.
Program itu diadakan dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
Cabaran SOS itu terbuka kepada pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia. Pelajar IPT cuma perlu mecadangkan satu konsep aplikasi unik yang boleh menangani isu-isu keselamatan jalan raya negara yang menarik perhatian generasi muda.
"Peserta yang mengambil bahagian mestilah menyatakan bagaimana idea mereka mampu meningkatkan kesedaran berkaitan isu keselamatan jalan raya atau memupuk sikap penggunaan jalan raya yang berhemah.
"Tiga pasukan yang dipilih sebagai pemenang bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, program praktikal selama tiga bulan di Tune Protect dan perlindungan insurans kemalangan peribadi selama setahun," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
MATLAMAT PENGANJUR
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Tune Protect, Razman Hafidz Abu Zarim berkata, misi syarikatnya adalah memperkasakan golongan belia dengan mengajak mereka mengetengahkan idea-idea kreatif mereka bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di Malaysia.
"Cabaran ini merupakan inisiatif yang amat baik untuk melibatkan golongan muda dalam usaha kita meningkatkan keselamatan jalan raya, lebih-lebih lagi kerana mereka merupakan golongan yang mencatat bilangan kes tertinggi untuk kematian jalan raya," kata Ketua Pengarah JKJR, Datuk Rosli Isa.
SYARAT PENYERTAAN
Pelajar IPT yang berminat untuk menyertai program ini mesti terdiri daripada pelajar berusia lebih 18 tahun dan sedang menuntut di mana-mana IPT di Malaysia.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 3 Ogos 2017 dan 20 peserta akhir yang disenarai pendek akan layak untuk ke peringkat akhir pada 26 dan 27 Ogos depan.
Peserta akhir perlu membentangkan idea mereka kepada panel juri. Pelajar IPT yang berminat boleh menyertai Cabaran SOS menerusi cr.tuneprotect.com.
Must-Watch Video