Bagi segelintir, ketibaan Ramadan hanya dianggap sebagai bulan dalam kalendar Islam yang mewajibkan mereka berpuasa. Malangnya, ada yang bersikap ponteng untuk menjalankan rukun Islam ketiga itu. Namun, majoriti umat Islam di dunia pastinya menantikan Ramadan kerana ia menjadi ruang untuk meningkatkan amalan kepada Allah.

Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, bulan puasa juga dianggap bulan 'ganjaran mata bonus’ untuk masysrakat Islam.

"Allah S.W.T akan mengurniakan ganjaran ‘mata bonus’ yang tidak putus-putus kepada umat Islam yang berusaha merebutnya. Dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda di atas segala amal kebaikan dan kebajikan yang dilakukan, maka apakah kita semua telah bersedia untuk merebutnya," katanya dalam perutusannya bersempena bulan puasa yang akan disambut umat Islam Malaysia bermula esok.

Ahmad Yunus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor menyatakan 'Karnival Sure Pahala' dan ganjaran mata bonus itu bermaksud umat Islam akan mendapat pahala berlipat kali ganda di atas segala amal dan kebajikan yang dilakukan sewaktu Ramadan.

Beliau memetik sabda Nabi Muhammad S.A.W, mereka yang berpuasa di bulan Ramadan kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah maka dosanya pada masa lampau akan diampuni. Justeru, beliau berharap Ramadan kali ini akan mencetuskan perubahan yang baik dalam diri umat Islam untuk tunduk dan patuh kepada perintah serta larangan Allah.