SKOP
Kanak-Kanak Berkahwin Perogol Masih Dianggap Keputusan Tidak Masuk Akal
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan kepada Parlimen baru-baru ini, budak perempuan berumur 12 tahun yang berkahwin dengan lelaki disabitkan dengan kesalahan merogolnya di Sabah kini berada dalam kesihatan baik.
Budak perempuan itu kini berumur 16 tahun dan tinggal dengan keluarga di Kota Kinabalu dan masih isteri kepada Riduan Masmud, 44, seorang bekas pengurus restoran yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan merogolnya pada 2015.
“Kami melawat budak perempuan itu di rumah keluarganya pada 18 April lalu dan dia berada dalam kesihatan baik manakala suaminya dikenakan hukuman di Penjara Kepayan di Kota Kinabalu,” kata Rohani.
PERKAHWINAN BAWAH UMUR PERLU DIHAPUSKAN
Kenyataan Rohani itu dibidas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang menyatakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak mempunyai hak untuk menentukan mangsa rogol itu sedang menjalani kehidupan dengan baik kerana mangsa masih lagi anak kecil walaupun telah berusia 16 tahun.
"Tidak masuk dek akal untuk berfikir bahawa dengan mengahwini si perogol akan menyelamatkan mangsa dan keluarga daripada menanggung rasa malu. Tidak boleh dengan perkahwinan akan menyelamatkan perogol daripada dihukum," katanya dalam satu kenyataan media.
Justeru, beliau menggesa supaya perkahwinan kanak-kanak dihapuskan di negara ini.
TAKRIF USIA KANAK-KANAK DI MALAYSIA
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Nor Aziah Mohd Awal sebelum ini pernah menjelaskan kanak-kanak di Malaysia ditakrifkan sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun mengikut Akta Kanak-Kanak.
Menurutnya, hal tersebut yang mungkin menyebabkan ramai masyarakat di Malaysia yang keliru dengan definisi kanak-kanak kerana rata-rata mereka mentakrifkan kanak-kanak adalah di bawah umur 12 tahun.
"Namun mengikut perundangan Islam definisi kanak-kanak adalah untuk lelaki mencapai baligh sementara perempuan adalah keluar haid (boleh hamil)," katanya.
ENAKMEN ISLAM MEMBENARKAN
KPWKM dalam satu kenyataan pula menjelaskan memang menjadi pendirian kerajaan bahawa mengahwini mangsa rogol tidak akan melindungi pesalah daripada dihukum atas kesalahan rogol yang dilakukan.
Hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah dalam kes berkenaan jelas menunjukkan sistem perundangan sedia ada mantap dalam melindungi mangsa jenayah khususnya melibatkan kanak-kanak.
Namun, KPWKM akur dengan keputusan mangsa dan keluarganya untuk meneruskan perkahwinan bagi pasangan berkenaan menurut lunas undang-undang sedia ada.
Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri memperuntukkan bahawa perkahwinan bawah umur 16 tahun dibenarkan dengan mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah.
Perdebatan terbaru berhubung isu perkahwinan individu bawah umur tersebut membangkitkan semula polemik mengenai persoalan tersebut.
Bagi segelintir pihak, perkahwinan bawah usia 18 tahun perlu dilarang di Malaysia berdasarkan hak asasi manusia, tetapi hukum Islam yang menjadi agama rasmi negara ini menetapkan sebaliknya.
Must-Watch Video