Mengangkat seni arca kayu sebagai hobi mahupun kerjaya, mungkin dianggap suatu aktiviti yang membosankan. Bagi segelintir, melihat rekaan kayu yang dijadikan seni untuk dipamerkan kepada khalayak seolah tiada nilai.

Namun, tanggapan itu meleset jika anda mengetahui nilai sebenar kerja seni yang dihasilkan Anniketyni Madian atau lebih mesra disapa Anni bukan saja mendapat perhatian peminat seni ini tetapi ia turut diiktiraf ke peringkat antarabangsa.

Menyelami kisah wanita berasal dari Kuching, Sarawak ini, dia mencabar diri dalam bidang seni arca berasaskan medium kayu dengan menghasilkan karya bermutu tinggi supaya mendapat tempat dalam kalangan pencinta seni tanah air.

"Seni arca kayu kurang popular di negara ini berbanding luar negara tetapi ia berpotensi besar untuk diketengahkan. Saya melihat arca kayu ini dari perspektif berbeza.

"Ramai beranggapan kerja dalam bidang seni arca kayu ini tidak sesuai dilakukan wanita, sebaliknya hanya mampu dilakukan lelaki. Namun, saya mahu buktikan, wanita juga boleh melakukannya walaupun ia memerlukan kepakaran dan kemahiran tinggi dalam pertukangan kayu," katanya ketika ditemui Rojak Daily Skop! di bengkelnya di Kuang, Selangor, baru-baru ini.


TONJOL ELEMEN PUA KUMBU

Anni bakal membuat pameran solo di Artcube Gallery, Intermark Mall, Kuala Lumpur bermula 16 November ini.

Mengakui minat terhadap seni arca kayu itu tidak datang begitu saja, wanita berusia 31 tahun ini yang berkelulusan Sarjana Seni Halus (Arca) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyatakan cintanya terhadap seni arca kayu bermula ketika melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan pada tahun 2008.

"Pensyarah memberikan kami kebebasan untuk meneroka penggunaan medium penghasilan arca. Pada saat itulah saya dapat rasakan arca kayu itu adalah jiwa dan hidup saya," katanya.

Bagi menghasilkan karya yang unik dan mempunyai identiti tersendiri, Anni menerapkan elemen pua kumbu dalam setiap karyanya. Elemen ini popular dalam industri pembuatan tekstil di Sarawak.

Pada asalnya, ia ditenun oleh wanita Iban dan digunakan dalam kebanyakan acara ritual serta majlis khas termasuk meraikan kelahiran bayi, menyambut ulang tahun kelahiran dan pengebumian.

"Sebagai anak jati Sarawak, mempromosikan budaya masyarakat kami menerusi karya seni adalah suatu kelebihan. Daripada industri tekstil, saya bawakan ia ke dalam dunia seni arca khususnya medium kayu. Ia sekali gus memberi identiti tersendiri kepada setiap karya yang saya hasilkan," kata wanita campuran Melayu dan Iban itu.


BUAT ATAS PERMINTAAN

Sebagai anak jati Sarawak Anni percaya mempromosikan budaya masyarakatnya menerusi karya seni adalah suatu kelebihan.


Bagaimanapun, Anni menjelaskan arca yang dihasilkannya lebih bersifat kontemporari dan sesuai dengan minat masyarakat sekarang.

Bagi menambahkan lagi keunikan arca kayu itu, Anni menggabungkan motif pua kumbu dengan unsur Islamik seperti tulisan kaligrafi dan Jawi.

"Kadang-kadang, idea datang secara spontan. Kebiasaannya, saya akan lakar lima sehingga lapan jenis lakaran untuk setiap arca.

"Setiap idea yang datang, saya kembangkan kepada lakaran asal sebelum lakaran lebih terperinci dibuat. Ini penting supaya idea asal tidak tersasar jauh," katanya yang gemar melancong dan membaca untuk mendapatkan inspirasi dalam berkarya.

Tambahnya, arca kayu yang dihasilkan juga bergantung kepada permintaan pelanggan atau pengumpul karya seni itu.

Lazimnya, peminat arca kayu ini akan bertemu dengan Anni terlebih dahulu untuk sesi perbincangan idea dan proses lakaran sebelum beliau memulakan kerja pertukangan.

"Arca kayu ini datang dalam pelbagai saiz dan jenis. Harganya juga berbeza-beza bergantung kepada jenis kayu yang digunakan. Lazimnya, saiz arca yang saya hasilkan berukuran lima kaki tinggi dan lima kaki lebar manakala saiz paling besar yang pernah dihasilkan ialah enam kaki tinggi serta 16 kaki lebar," katanya.


PROSES BERKARYA

Anni menggabungkan motif pua kumbu dengan unsur Islamik seperti tulisan kaligrafi dan Jawi pada karyanya.


Menjelaskan proses penghasilan sesuatu arca, Anni menyatakan kebiasaannya dia mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan sesebuah karya.

"Daripada proses lakaran, saya perlu membuat kerja memotong dan pasak. Selepas semua kayu yang dipotong dicantumkan, kerja melicinkan kayu pula bermula.

"Proses melicinkan ini dianggap sebagai fasa terakhir sebelum ia disapu cat minyak dan dihantar kepada pelanggan," katanya.

Ujarnya, antara jenis kayu yang menjadi pilihan adalah kombinasi kayu meranti, meranti merah, pine putih dan pine merah serta resak.

"Kayu ini sangat terkenal dengan sifat tahan lasaknya. Pemilihan kayu sangat penting bagi menghasilkan arca yang bermutu tinggi.

"Jika guna kayu terlalu lembut atau tidak tahan lasak, ia akan mendatangkan masalah ketika proses memotong nanti," katanya sambil menambah kayu yang digunakan dibeli di sekitar ibu negara dan diimport dari Indonesia.

Anni menambah, arca kayu bersifat 'matte' kerap menjadi pilihan pelanggan berbanding arca yang berkilat kerana dianggap lebih mempunyai nilai estetika tersendiri.

Minat Anni berkarya dalam seni arca kayu ini semakin berkembang atas dorongan dan perangsang suami untuk memperkukuhkan kerjaya dalam bidang itu.

Mengakui pada awalnya kurang yakin untuk bergerak secara solo, Anni berkata, dia sangat bertuah kerana suaminya, Kamarudin Diran sentiasa memberi dorongan dan perangsang untuknya bertapak dalam dunia arca kayu.

"Pengalaman suami sebagai pereka grafik selama lebih 25 tahun juga sedikit sebanyak membantu saya untuk menghasilkan karya yang sentiasa segar dan bernilai tinggi," katanya.


PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

Satu pengiktirafan buat Anni apabila diberi peluang menghasilkan cenderamata untuk satu program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rome Itali pada tahun 2015.

Kini, Anni mampu berbangga dengan usia pada usia yang muda, dia sudah menempa nama di persada antarabangsa dengan menyertai beberapa pameran di luar negara dan mendapat jemputan beberapa program Residensi Seni.

Antaranya, menyertai Residensi Seni di Vermont Art Center dan Rimbun Dahan serta dijemput ke pameran Vincci Art Gallery di Singapura pada 2014, pameran terbuka di Bangladesh pada tahun 2009 dan pameran berkumpulan di Box Heart Gallery Liberty Ave, Pittsburgh, Amerika Syarikat, pada Januari 2015 serta beberapa pameran di Hong Kong, Shanghai, Seoul, Singapura dan Tokyo.

Lebih manis apabila dia diberi kepercayaan selama tiga tahun berturut-turut untuk menghasilkan plak anugerah arca kayu sempena Corporate Art Award 2017 di Rome, Itali.

Bagi menghargai jasa dan sumbangannya mengharumkan nama negara di peringkat global, Anni dilantik menjadi Duta Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

Pelantikan itu menjadikannya sebaris dengan individu ternama seperti Noor Neelofa Mohd Noor, Dr Farrah Hani Imran dan atlet, Sharon Wee. Anni sebelum ini pernah menerima anugerah Malaysia Top 30 for The Sovereign Asian Art Prize 2016, Young Guns Art Awards 2017, Participants in Corporate Art Awards 2017 dan Women of The Future Awards South East Asia 2018.

Bagi anda yang meminati karya seni halus, boleh memgunjungi pameran solonya bertemakan ‘Bejampong’ di Artcube Gallery, Intermark, Kuala Lumpur bermula 16 November ini sehingga 31 Disember depan.