Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini menyatakan nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan RM96.9 bilion bagi Mei lalu dengan pertumbuhan 10.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Persepsi sebilangan pihak mengaitkan peningkatan nilai jualan perdagangan borong dan runcit itu dengan kenaikan harga barangan tetapi nilai jualan kenderaan bermotor turut meningkat sebanyak 10.2 peratus.

Secara terperinci, Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan nilai jualan perdagangan borong adalah RM46.9 bilion, perdagangan runcit (RM37.2 bilion) dan kenderaan bermotor (RM12.8 bilion).

"Pada bulan ini, nilai jualan bagi perniagaan kenderaan bermotor meningkat 10.2 peratus kepada RM12.8 bilion berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya. Nilai jualan perniagaan kenderaan bermotor meningkat 12.8 peratus berbanding bulan sebelumnya," katanya.

Tambahnya, pertumbuhan positif itu disumbangkan oleh perniagaan perdagangan runcit sebanyak 13.1 peratus. Dibandingkan pada tahun lalu, indeks volum kenderaan bermotor meningkat 7.9 peratus kepada 133.3 mata pada Mei 2017. Indeks volum pelarasan bermusim kenderaan bermotor meningkat 15 peratus pada Mei tahun ini berbanding April lalu.

Sementara nilai jualan bagi perniagaan perdagangan borong mencatatkan pertumbuhan sembilan peratus kepada RM46.9 bilion berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya. Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perniagaan itu meningkat 3.8 peratus.

Perniagaan perdagangan runcit pula merekodkan peningkatan nilai jualan kepada RM37.2 bilion atau 13.1 peratus berbanding setahun lalu. Dari bulan ke bulan, perniagaan itu mencatatkan peningkatan 2.7 peratus.


PERODUA SASAR JUALAN 202,000 UNIT

Sejajar dengan peningkatan nilai jualan perniagaan kenderaan bermotor, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) kelmarin mengumumkan akan mengekalkan sasaran jualannya sebanyak 202,000 unit pada tahun ini di sebalik kelembapan ekonomi global.

Menurut Perodua, syarikat itu menjual 99,700 kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini yang merupakan peningkatan 2.4 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Berdasarkan anggaran kami, jumlah jualan industri (TIV) dari Januari sehingga Jun lalu mencecah 284,200 kenderaan bermakna Perodua memegang pasaran sekitar 35.1 peratus setakat tahun ini," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Pencapaian Perodua tersebut menunjukkan meskipun masyarakat ketika ini berdepan masalah ekonomi khususnya membabitkan kos sara hidup, jualan kereta nasional itu tetap mendapat perhatian ramai sehingga mencatatkan peningkatan dalam jualan. Ini bermakna, kereta nasional juga tetap menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia yang mempercayai kualitinya.