Secara purata setiap rakyat Malaysia makan 120 gram nasi sehari yang datang dari kerja yang dilakukan pesawah. Padi dituai dari tanah yang lazimnya mereka warisi dan usahakan sejak zaman berzaman.
Majoriti pesawah kini berusia dalam linkungan 60 tahun. Jika mereka bekerja di pejabat pada usia tersebut sudah boleh goyang kaki berehat dengan wang persaraan tetapi itu bukan tujuan hidup mereka.
Bagaimanapun, ramai tidak menghargai susah payah mereka, malah sanggup mengambil kesempatan. Ironi walaupun industri padi dan beras negara bernilai RM7 billion setahun, pesawah merupakan golongan yang termiskin. Itu pandangan Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Mohd Rizal Jaafar mengenai nasib pesawah di negara ini.
"Kita sedap makan nasi tiga kali sehari tanpa menyedari tangan yang menyuap hidup terseksa. Isteri dan anak-anak yang mereka tanggung juga azab dengan makan pakai yang ala kadar sahaja," katanya.
SIAPA KAYA DARI HASIL SAWAH?
Sehubungan itu, Mohd Rizal mempersoalkan siapakah yang sebenar-benarnya memperoleh keuntungan hasil daripada jualan padi dan pelbagai skim bantuan kerajaan untuk pesawah kerana petani masih hidup di bawah garis kemiskinan.
Menurutnya, hal itu boleh menjejaskan sasaran kerajaan untuk mencapai tahap sara diri 100 peratus menjelang tahun 2020 kerana tidak mungkin ada generasi akan datang yang sanggup menjadi pesawah dengan pendapatan tidak setimpal.
Beliau percaya perkara itu akan berlaku berikutan ketirisan berpunca daripada penyalahgunaan kuasa, rasuah dan jenayah pecah amanah yang berlaku dalam rantaian pembekalan padi dan beras.
BERAS TEMPATAN LAWAN BERAS IMPORT
Mohd Rizal seterusnya mendakwa Malaysia masih mengimport 30 peratus beras walaupun mampu menghasilkan 100 beras sendiri kerana ada pihak berpandangan mengimport lebih menguntungkan pemborong.
"Maka tidak hairanlah berlakunya lambakan padi setiap kali musim menuai tiba. Tidak hairan kuota beras import jauh melebihi 30 peratus dibenarkan. Semuanya demi mengaut keuntungan tanpa mempedulikan nasib pesawah," dakwanya.
Beliau turut membangkitkan tentang kesan monopoli syarikat yang menerima konsesi membekal, membeli, mengimpot, menyimpan 'stokpail' untuk kerajaan sejak tahun 1996.
ILTIZAM KERAJAAN
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur kerana Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mempunyai azam untuk mencari penyelesaian lebih efisen dalam menangani isu tersebut.
Katanya, kementerian itu turut memperakui sektor pertanian padi sebagai projek berkebajikan yang mesti diteruskan walaupun tidak semestinya menguntungkan.
"Kita sambut baik komitmen kementerian untuk mencari jalan mengurangkan kos pengeluaran sebelum menaikkan harga. Dalam merancang untuk membentuk pengkalan data padi yang lebih komprehensif, kita berharap kementerian terus komited memerangi kegiatan orang tengah dan 'ali baba' yang hanya tahu mengaut keuntungan atas angin," katanya.
