Tragedi kanak-kanak tersepit pada eskalator bukannya perkara baharu berlaku di negara ini. Sebelum ini sudah banyak kali kemalangan mengenai insiden sama dilaporkan media.

Bagaimanapun, timbul persoalan apakah punca atau faktor yang menyumbang kepada kemalangan seumpama itu, mungkin disebabkan kecuaian ibu bapa yang sepatutnya lebih peka dengan tingkah laku anak mereka ketika berada di luar khususnya ketika menggunakan eskalator atau pun berlaku kelemahan dari aspek penyelenggaran eskalator terbabit.

KANAK-KANAK MENDERITA SELAMA 30 MINIT

Situasi yang sama turut berlaku di sebuah kompleks membeli-belah di Johor Bahru, baru-baru ini apabila dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit selepas dua jari tangan kanannya tercucuk pada besi eskalator.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Khairul Azhar Abd Aziz, pihaknya terpaksa memotong kepingan besi berkenaan sebelum kanak-kanak itu di bawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Tambahnya, bomba yang menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.28 petang, kemudian bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera bersama kekuatan 11 anggota. Sebagai langkah keselamatan, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak mereka terutamanya ketika menggunakan eskalator bagi mengelak kejadian sama berulang.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun menjadi mangsa terbaru kes tersepit jari di eskalator di sebuah pusat membeli belah di Johor Bahru baru-baru ini.

AUDIT KESELAMATAN BERKALA

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan pada media menyatakan pihak pengurusan bangunan serta syarikat pengendali eskalator perlu melakukan audit keselamatan terhadap kemudahan tersebut secara berkala.

Jelasnya, berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, menjadi tanggungjawab majikan dan pemilik bangunan memastikan eskalator berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Selain itu, Lee turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak mereka serta tidak membenarkan mereka bermain di atas eskalator.

Beliau menegaskan selain membuat penyelenggaraan eskalator secara berkala dan teliti, pemilik bangunan juga perlu memaparkan papan tanda keselamatan selain mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menggunakan eskalator.

Lebih penting lagi, tegasnya eskalator dalam semua bangunan komersial dan kompleks membeli-belah perlu diperiksa lebih kerap bagi memastikan ia selamat digunakan.

OPERASI JKKP

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) turut menegaskan pihaknya menjalankan operasi pemeriksaan eskalator di seluruh negara terutama di kompleks membeli-belah sebagai langkah mengurangkan kemalangan.

JKKP juga dilaporkan akan membuat kajian mengenai ciri keselamatan eskalator membabitkan pelbagai aspek antaranya teknikal, penggunaan dan faktor manusia yang boleh menyumbang kepada kemalangan.

Selain itu, berdasarkan statistik JKKP pada tahun 2016, sebanyak 1,305 eskalator berdaftar dengan jabatan tersebut dan JKKP juga sudah menjalankan operasi pemeriksaan keselamatan untuk memeriksa eskalator daripada awal tahun di seluruh negara.