Acapkali kita melihat pemandu kenderaan atau penunggang motosikal bertindak melanggar lampu merah. Lebih menakutkan apabila penunggang motosikal ini masuk melawan arus kerana mahu mengikut jalan pintas ke destinasi yang dituju.

Persoalannya, apakah pesalah trafik ini sudah lupa dengan undang-undang dan peraturan lalu lintas negara ini atau beranggapan mereka tidak mungkin ditangkap atau disaman kerana pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya pandang sebelah mata.


AWAS! POLIS TUNGGU DI PERSIMPANGAN LAMPU ISYARAT

Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang baru-baru ini meletakkan anggota polis trafik di lokasi 'panas' di persimpangan lampu isyarat sekitar Georgetown untuk mengesan pesalah trafik nampaknya membuahkan hasil.

Pesalah trafik ini bukan saja berjaya dikesan tetapi sikap pemandu kereta mahupun penunggang motosikal yang masih bebal kononnya mereka adalah raja jalanan akhirnya mengundang padah.

Sejak peristiwa seorang wanita berusia 58 tahun maut dirempuh seorang penunggang motosikal ketika melintas jalan di Jalan Burma, Pulau Tikus pada 7 April lalu, ia membuka mata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) melancarkan Operasi Khas Trafik (Pencegahan Kemalangan Jalan Raya), semalam.

Dalam operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik, IPDTL, Deputi Superintendan Noh Idris, ia dilaksanakan secara berkala sebagai langkah pencegahan dan pemantauan kes kesalahan trafik dan jenayah.


JENIS KESALAHAN TRAFIK

Pelaksanaan operasi khas trafik yang diadakan dari jam 10 pagi sehingga 1 petang semalam berjaya mengesan pelbagai kes kesalahan trafik yang dilakukan pemandu kenderaan termasuk penunggang motosikal.

Tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikuti saiz yang ditetapkan antara kesalahan yang banyak dikesan selain pemantauan enam kesalahan utama lalu lintas bakal dikenakan kompaun maksima sebanyak RM300 iaitu memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan, mengguna telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keledar.

Sebagai pengajaran, setiap kesalahan dikeluarkan saman serta merta oleh anggota polis trafik melalui sistem penggunaan aplikasi terbaru iaitu Mobile Computerized On-Line Payment System (MCOPS).

Deputi Superintendan Noh Idris (gambar kiri) membetulkan tali topi keledar seorang penunggang motosikal warga emas dalam Operasi Khas Trafik di Pulau Pinang, semalam.

PESALAH TRAFIK ADA 100 SAMAN SELAMA SEDEKAD

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam operasi selama empat jam itu dijalankan di dua lokasi berasingan iaitu Jalan Patani dan Jalan Jelutong turut mengesan seorang jurujual lelaki berusia 30-an memiliki 100 saman tertunggak membabitkan kesalahan trafik yang tidak dijelaskan sejak 10 tahun lalu.

Tambahnya, kesalahan lain yang dilakukan pesalah trafik adalah meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan dan kesemua saman yang tidak dijelaskan pesalah trafik sehingga ke hari ini membabitkan nilai mencecah hampir RM10,000.

"Kita terpaksa merekod kesemua saman tertunggak selain mengarahkan lelaki berkenaan menjelaskan semua saman dalam tempoh dua minggu sekiranya tidak mahu tindakan tegas diambil.

"Lelaki berkenaan kemudian dibebaskan selepas diambil keterangan diri dan operasi ini juga mengesan seorang penunggang motosikal lelaki berusia 20-an yang memiliki 14 waran tangkap," katanya.

Polis menasihati orang ramai agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan selain menjelaskan saman tertunggak bagi mengelakan waran tangkap dikeluarkan.

"Pihak polis tidak akan bertolak ansur dengan mana mana pihak sekiranya ditahan atas kesalahan trafik dan polis akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan trafik dari masa ke semasa," katanya.