Berdasarkan statistik, lebih 1,600 bahan penerbitan termasuk buku, majalah, akhbar, surat, risalah, kitab dan sebagainya dikenakan perintah larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sehingga Januari lalu.

Kesemua penerbitan itu mengandungi penulisan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, memudaratkan kemoralan dan memudaratkan kepentingan awam. Warta Perintah Larangan adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan seperti itu adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.


LAPAN LAGI DIKENAKAN PERINTAH LARANGAN

Semalam, lima lagi penerbitan yang didapati mengandungi fakta yang mengelirukan dan bertentangan dengan akidah Islam mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dikenakan perintah larangan tersebut.

Penerbitan tersebut dilihat boleh mengelirukan orang ramai dan dikategorikan sebagai menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya.

Tajuk-tajuk penerbitan tersebut adalah Isu Semasa Dalam Risalah: Hukum Barat Pun Islam, Isu Semasa Dalam Risalah: Konsep Kebebasan dan Agama, Menuju Reformasi Perundangan Islam, Zainab Srikandi Cucu Baginda Muhammad S.A.W. dan Imam Mahdi Yang Ditunggu dan Malapetaka Akhir Zaman.

Selain itu terdapat dua penerbitan lain yang mempunyai unsur-unsur yang menghina agama Islam dan negara. Kedua-dua penerbitan tersebut mungkin memberi implikasi negatif dari sudut keselamatan negara.

Tajuk penerbitan tersebut ialah 'Al-Yahud: Eternal Islamic Enmity & The Jews' dan 'From Majapahit to Putrajaya: Searching for Another Malaysia'.

Terdapat satu penerbitan di mana isi kandungan atau artikelnya berunsur seks serta memuatkan gambar-gambar lucah keterlaluan yang tidak bersesuaian dengan norma kehidupan masyarakat di negara ini iaitu 'Saucy Seaside Postcards'.

"Kesemua penerbitan yang diterbitkan di dalam negara dan di luar negara tersebut dilihat boleh memudaratkan atau mengelirukan pembaca terutamanya generasi muda di mana ianya tidak sesuai untuk dijadikan bahan bacaan umum," kata Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan, semalam.


BOLEH DIHUKUM DENDA, PENJARA

Menurut KDN, mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar hasil penerbitan larangan merupakan suatu kesalahan.

Mereka yang terlibat boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8 (2) Akta 301 tersebut.

KDN dalam kenyataan itu juga menyatakan orang ramai yang mendapati masih terdapat penerbitan yang melanggar undang-undang diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN dengan menghubungi di talian 03-88868047 atau 03-88891682 (faks) atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.