Daripada sudut penampilan, rambut seringkali dianggap sebagai aset penting buat golongan wanita. Namun, itu kisah kaum Hawa, bagaimana pula keadaannya dengan orang lelaki?

Walaupun tidak boleh dinafikan bahawa gaya rambut boleh mempengaruhi penampilan seseorang lelaki tetapi golongan ini juga kelihatan lebih 'macho' jika mempunyai janggut.

Memang benar, janggut boleh menonjolkan gaya seseorang lelaki itu lebih segak dan matang. Malah, kelebihan menyimpan janggut memberi banyak kelebihan yang mungkin tidak diketahui ramai.


BOLEH BUAT DUIT

Tahukah anda, sekiranya anda seorang lelaki berjanggut yang tinggal di United Kingdom, anda mampu meraih pendapatan sebanyak GBP30 (RM163.11) sejam dengan hanya 'goyang kaki'.

Tawaran pekerjaan tersebut dibuat syarikat Mo Bro’s dan hanya memerlukan anda untuk membiarkan janggut anda dibelai dan diusap oleh penggunujung pusat membeli belah Highcross yang terletak di bandar Leicester.

Bagaimanakah peluang pekerjaan ini boleh wujud? Mengikut kajian sains terbaru, aktiviti membelai atau mengusap janggut mampu membebaskan hormone Oxytocin yang memberi kesan penggurangan tekanan.

Maka, sudah tentu perkhidmatan yang menawarkan janggut untuk diusap ini amat bersesuaian buat penggunjung di pusat membeli belah tersebut memandangkan segelintir mula sibuk membeli barang untuk Hari Krismas dan mungkin tertekan mencari hadiah yang sesuai.

Difahamkan perkhidmatan ini akan dibuka kepada pengunjung di pusat membeli belah tesebut selama tiga hari bermula 20 Disember ini dengan bayaran sebanyak GBP5 (RM27.15) untuk belaian selama 5 minit.

Calon-calon yang berminat menawarkan janggut mereka diusap atau dibelai perlulah mempunyai janggut yang mempunyai ukuran minima dua inci panjang dan tidak kisah janggut mereka untuk disentuh oleh orang ramai baik lelaki mahupun wanita.

Keutamaan bagaimanapun akan diberikan kepada mereka yang mempunyai janggut menyerupai Santa Claus.

Mungkin ia dianggap pekerjaan yang pelik tetapi membelai janggut dikenal pasti dapat mengurangkan tekanan dalam diri seseorang.


“Krismas merupakan musim yang menyebabkan orang ramai mendapat tekanan yang tinggi. Anda terlalu sibuk untuk membeli hadiah, makanan dan minuman selain sibuk menguruskan kerja, keluarga dan pelbagai komitmen lain.

“Kami mahu menukar situasi ini kepada sesuatu yang lebih menyeronokkan dan di situlah timbul idea untuk mewujudkan stesen membelai janggut ini. Sudah ada beberapa jejaka dengan janggut yang menawan bersedia menawarkan khidmat mereka tetapi kami memerlukan lebih ramai lagi kerana menjangkakan permintaan tinggi akan diterima,” ujar salah seorang pengasas-bersama Mo Bro’s iaitu Savan Dattani.

Di samping perkhidmatan tersebut, mereka turut menjual pelbagai produk penjagaan rambut keluaran syarikat mereka di situ.

“Ramai sudah mengetahui kelebihan membelai benda-benda yang lembut seperti haiwan peliharaan tetapi kami tidak mahu menggunakan haiwan kerana keadaan boleh jadi agak kelam-kabut. Jadi, akhirnya kami memutuskan untuk menawarkan janggut sebagai bahan yang dibelai!” ujar Dattani lagi.

Bayangkan sekiranya anda bekerja selama lapan jam sehari sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut ditawarkan, anda bakal meraih pendapatan sebanyak GBP720 (RM3,908.96) bagi kerja selama tiga hari saja! Mewah bukan?


HIDUP SIHAT MENYIMPAN JANGGUT

Ada lelaki gemar menyimpan janggut secara unik.


Kisah di atas bukan sahaja menceritakan pulangan lumayan yang mampu dikecapi dengan hanya menyimpan janggut tetapi juga kelebihannya dari sudut mengurangkan tekanan.

Namun, tahukah anda terdapat banyak lagi kelebihan menyimpan janggut mengikut perspektif sains?

Berikut enam kelebihan menyimpan janggut dari sudut kesihatan:
  1. Mengurangkan risko kanser kulit
  1. Mengurangkan simptom asma dan alergi
  1. Kekal kelihatan muda
  1. Melembabkan kulit
  1. Penebat kesejukan semulajadi
  1. Mengurangkan jerawat