Di dalam kehidupan ini, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai seteru kuat dan tidak boleh bercampur atau berkawan.

Dari aspek persepsi pula, setiap satu pihak juga mempunyai penyokong fanatik tersendiri yang tidak menyukai pihak lawannya itu.

Antara contoh seteru yang sering kita tahu seperti Coca-Cola dengan Pepsi, KFC dengan McDonald’s, iPhone dengan telefon Android, Marvel Comics dengan DC Comics dan juga anjing dengan kucing.

Bagaimanapun, antara banyak seteru yang dinyatakan, hubungan di antara anjing dengan kucing menjadi saingan terhebat sehinggakan terdapat peribahasa Melayu khusus yang berbunyi, seperti anjing dengan kucing.

Hampir semua peringkat umur dan juga bangsa tahu peribahasa tersebut bermaksud dua pihak yang sering bertengkar dan sukar untuk berkawan baik.

Walaupun begitu, jangan terkejut mendengar kisah mengenai seekor kucing yang bukan sahaja ramah bergaul dengan sekumpulan anjing tetapi turut menjadi 'guru' kepada mereka.

INI KUCING KE ANJING?

Mesti ramai tidak percaya kucing bernama DOG ini mempunyai sifat yang berbeza daripada kucing lain.


Cerita menarik ini dikongsi Support Dogs, Inc. (SDI) yang merupakan sebuah pusat melatih anjing yang terletak di St. Loius, Missouri, Amerika Syarikat.

Organisasi bukan berasaskan untung tersebut bukan sahaja melatih tetapi turut menyediakan anjing khidmat secara percuma kepada orang kelainan upaya (OKU) atau sesiapa sahaja yang memerlukannya.

Sekiranya anda ke sini, sudah pasti akan membayangkan seekor anjing akan muncul apabila nama 'Dog' dipanggil. Walaupun perkataan bahasa Inggeris 'dog' bermaksud anjing, pemilik nama DOG di sini sebenarnya adalah seekor kucing jantan berbelang hitam dan putih!

Seekor anjing khidmat perlu sentiasa tenang ketika bersama-sama dengan tuannya termasuklah apabila mereka bertemu dengan haiwan seteru mereka.

Oleh yang demikian, DOG seringkali digunakan oleh pekerja SDI di dalam seisi latihan mereka bersama dengan anjing.

“Kami melatih anjing untuk membantu pelbagai orang yang mempunyai keperluan yang berbeza dan kadang-kala mereka ini mempunyai haiwan peliharaan yang lain di dalam kediaman mereka.

"DOG merupakan alat pembelajaran yang sempurna. Dia bertenaga, ligat dan sangat berkesan dalam menguji keupayaan setiap anjing untuk kekal tenang dan fokus dalam apa jua keadaan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif SDI iaitu Anne Klein kepada People.com.

Khidmat DOG sangat penting untuk melatih anjing-anjing membantu manusia.

Terdapat juga pepatah Melayu yang berbunyi, “masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak”. Ia membawa maksud kita perlu mengikut adab atau aturan sesuatu tempat apabila berada di sana dan nampaknya itu jugalah sikap yang diamalkan oleh DOG ketika berada di SDI.

Di sana, kucing tersebut kadangkala berkelakuan seperti anjing dengan cara mengunyah tali lehernya dan juga mengejar ekor anjing yang lain.

Ia juga tiada perasaan takut dengan anjing yang lain dan sering tidur di tempat tidur mereka dan juga makan dari bekas makanan mereka.

“DOG amat gemar minum air dari cawan yang diletakkan di atas meja pekerja dan dia juga seringkali 'menghias semula' ruang kerja kami dengan mencabut pin dari papan berita kami,” ujar Klein lagi.

Keletah lucu DOG membuatkannya dia digelar bos oleh pekerja SDI. Lebih menarik, kucing yang mempunyai tempat tidur bertingkat itu juga bakal membuat kemunculan istimewa pada majlis graduasi SDI yang dianjurkan khusus buat anjing yang menamatkan latihan selama dua tahun.

Melihat kejayaan hasil kerjasama di antara dua haiwan yang sering dianggap sebagai seteru ini, timbul persoalan sama ada seteru lain juga boleh berkerjasama.

Mungkin juga suatu hari nanti kita boleh melihat Apple bergabung teknologi dengan Android, Coca-Cola berkongsi resipi dengan Pepsi, Lionel Messi pula bermain satu pasukan Cristiano Ronaldo atau Marvel Studios membantu menerbitkan filem terbitan DC Comics!

Jika DOG boleh bersama anjing, tidak mustahil perkara lain juga boleh berlaku dan berubah mengikut masa.