Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma pernah menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang cekap dan sangat mesra perniagaan untuk menjalin kerjasama ekonomi digital.

Beliau menyatakan keyakinan ekonomi digital akan membantu meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada perniagan kecil di Malaysia sekurang-kurangnya 80 peratus. Ketika ini, perniagaan kecil di Malaysia menyumbang kurang 40 peratus daripada KDNK negara dengan perusahaan kecil dan sederhana menyumbang kira-kira 97 peratus daripada jumlah perniagaan.

"Ramai yang bertanyakan kepada saya mengapa saya pilih Malaysia untuk bekerjasama dalam zon perdagangan bebas digital (DFTZ). Saya bagi tahu mereka yang Malaysia sangat mesra perniagaan dan lebih cekap daripada yang saya sangkakan," katanya ketika berkunjung ke ibu negara pada 22 Mac lalu.

Jack Ma bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Zon Perdagangan bebas Digital (DFTZ) pada Mac lalu.

KAJIAN MICROSOFT

Kajian Transformasi Digital Asia Microsoft baru-baru ini bagaimanapun menunjukkan terdapat kekangan kecil untuk Malaysia mencapai apa yang dibayangkan oleh bilionair teknologi maklumat dari China tersebut.

Hasil kajian itu mendapati 80 peratus daripada mereka yang mengetuai sesebuah organisasi perniagaan di Malaysia sedar bahawa mereka perlu melibatkan diri dalam revolusi perindustrian ke-4 dunia iaitu transformasi digital.

Bagaimanapun, hanya 34 peratus daripada mereka dilengkapi dengan strategi transformasi digital dan kurang separuh atau 47 peratus masih menyusun inisiatif, itupun hanya untuk bahagian tertentu dalam perniagaan mereka. Sebanyak 19 peratus lagi masih mempunyai strategi yang sangat terhad atau lebih teruk tiada strategi langsung.

Kajian Transformasi Digital Asia Microsoft turut menggariskan lima halangan kepada transformasi digital di Malaysia iaitu:

  1. Kurang kemahiran memimpin organisasi
  2. Kurang sokongan terhadap dasar kerajaan dan ICT
  3. Ancaman siber dan masalah keselamatan
  4. Persekitaran ekonomi yang tidak menentu
  5. Kurang tenaga kerja yang mahir dalam aspek digital


JANGAN KETINGGALAN ZAMAN

Ketua Pegawai Pemasaran dan Operasi Microsoft Malaysia, Michal Golebiewski berkata, organisasi dalam setiap industri yang tidak berubah dengan pantas kurang berdaya saing atau ketinggalan zaman apabila menghadapi ancaman perniagaan.

Menurutnya, transformasi perniagaan digital melibatkan empat tunggak penting:

  1. Memperkasakan kakitangan
  2. Melibatkan pelanggan
  3. Mengoptimumkan operasi
  4. Melaksanakan transformasi menerusi produk, perkhidmatan atau model perniagaan baru.

"Data dan perkomputeran awan bakal menjadi peneraju penting semua transformasi ini," katanya.

Tambahnya, ketua sesebuah organisasi perniagaan perlu mengubah cara mereka berinteraksi, berkomunikasi dan memahami sepenuhnya potensi yang ditawarkan oleh transformasi digital.

"Jika ketua perniagaan tidak dapat berbuat demikian, perlu ada seseorang yang memainkan peranan khusus sebagai pembimbing dan peneraju perubahan tersebut sebagai contoh seorang Ketua Pegawai Digital atau CIO," katanya.