Sebanyak 3,921 insiden penipuan dalam talian dilaporkan sepanjang tahun lalu termasuk membabitkan kes skim penipuan dan perbankan Internet. Jumlah itu merupakan peningkatan kira-kira 20.4 peratus berbanding tahun 2015 yang mencatatkan 3,257 kes penipuan dalam talian bagi kes sama.

Statistik itu adalah berdasarkan kepada laporan Pusat Koordinasi Cyber999 yang dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia. Antara penipuan yang sering dilakukan untuk memperdaya orang ramai kononnya mereka memenangi hadiah daripada syarikat tertentu.

Mangsa kemudian diminta untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun bank untuk menuntut hadiah berkenaan sebelum menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang maklum balas.


CONTOH TEKS PENIPUAN

Berikut adalah beberapa contoh teks pesanan ringkas yang diterima oleh orang ramai berhubung penipuan berkenaan:

• Tahniah No. 6016305XXXX, telah menangi hadiah dari Nestle(M) Berhad" RM20,000 dengan serial No .9R789YK untuk maklumat lanjut Dail: 60109516477 T&S.

• Tahniah - Anda telah memenangi hadiah dari Nestle (m) Berhad RM20,000 dengan serial -299R789 untuk maklumat lanjut 010XXXXXXX

• Tahniah - Simcard anda terpilih memang wang RM8,000 dari “Nestle Milo” NO SERI [588499] Untuk maklumat lebih sila layari laman web www.peraduan-nestle.simdif.com


NESTLE PUN JADI MANGSA

Baru-baru ini, nama syarikat makanan dan minuman terkemuka Nestle Malaysia turut dipergunakan oleh penjenayah siber bagi menipu orang ramai.

Mangsa dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp kononnya memenangi hadiah wang tunai daripada Nestlé Malaysia. Mereka kemudian diminta untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun bank untuk menuntut hadiah berkenaan.

Nestle Malaysia dalam satu kenyataan media meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan perkara itu kerana ia adalah satu sindiket penipuan yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

Jelas kenyataan itu, Nestle tidak meminta sebarang sumbangan tunai. Mereka yang menerima komunikasi sedemikian dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran kerana semua ini adalah penipuan.

"Nestlé memandang serius terhadap perkara ini dan kami telah membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

"Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berhubung dengan perkara ini, sila hubungi Pusat Perkhidmatan Pengguna Nestlé di 1-800-88-3433," katanya.