Temasya Sukan SEA Ke-29 yang masuk hari ketiga kejohanan terus menyaksikan atlet negara beraksi cemerlang dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Selepas Malaysia berjaya meraih kemenangan menerusi acara bola sepak dan bola jaring, pemanah wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh turut mencatat kejayaan hari ini.

Menariknya, dia berjaya mencipta rekod baru Sukan SEA dan Kebangsaan selepas meraih pungutan mata sebanyak 696 di peringkat kelayakan acara compound individu wanita, hari ini.
Pencapaian terbaiknya itu sekali gus mengetepikan saingan sengit daripada pemanah utama Filipina, Amaya Amparo Cojuangco dan Kanyavee Maneesombatkul (Thailand), apabila kedua-duanya meraih 695 mata.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan aksi pada pagi ini dan berharap dapat meneruskan momentum pada saingan petang nanti.

"Saya tidak memikirkan tentang mata sebaliknya hanya fokus kepada apa yang saya perlu lakukan," katanya kepada Stadium Astro.

Fatin akan kembali beraksi pada petang ini jam 2.30 petang ini dalam saingan kalah mati.