Secara amnya, pengguna ambil maklum mengenai penyebaran wabak denggi berpunca daripada nyamuk aedes yang membiak di kawasan air bertakung. Meskipun pelbagai langkah diambil untuk mencegahnya tetapi jika merujuk pada kes denggi di Hulu Langat ketika ini, ia menunjukkan statistik yang begitu membimbangkan.

Sejak empat minggu lalu, jumlah kematian penduduk akibat wabak denggi yang dicatatkan di sana adalah 16 orang manakala keseluruhan kes demam denggi dilaporkan di daerah itu sebanyak 5,702 kes. Perkembangan itu menyaksikan kerajaan Selangor mengeluarkan satu kenyataan rasmi menyatakan kebimbangan terhadap gejala wabak denggi yang sedang melanda daerah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi menegaskan peningkatan bilangan kes daftar denggi di Hulu Langat adalah sesuatu yang membimbangkan.

"Sehingga 27 Mei lalu kumulatif kematian di daerah Hulu Langat sebanyak 16 orang berbanding 13 orang bagi tempoh masa sama tahun lalu. Jumlah kumulatif kes daftar Hulu Langat bagi 2017 adalah 5,702 kes berbanding 5,282 kes pada 2016. Ini menunjukkan peningkatan kes kumulatif sebanyak 420 kes.

"Angka-angka di atas adalah membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan jumlah kes daftar dan kematian yang ketara," katanya.

Sehubungan itu, Daroyah memaklumkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Selangor diarahkan mempergiatkan program kawalan dan pencegahan denggi di semua lokasi terlibat.

Tambahnya, MPAJ turut diarah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk melaksanakan aktiviti kawalan wabak denggi di kawasan berkenaan manakala MPKJ menyediakan racun `larvaciding' secara percuma kepada kontraktor pembersihan.

"Dalam situasi cuaca yang menjadi faktor utama peningkatan kes kebelakangan ini, kerajaan negeri menaruh harapan tinggi semua pihak memikul tanggungjawab secara bersama.

"Masyarakat juga diingatkan agar lebih prihatin dan berjaga-jaga sepanjang Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma ini agar kemeriahan menyambutnya tidak terencat dengan berita yang tidak diingini akibat gejala tersebut," katanya.