Jika anda menggunakan Samsung Galaxy S8 atau S8 Plus ketika ini, anda mungkin sudah berusia hampir satu tahun dan sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada kelahiran ‘flagship’ baharu.

Itulah senario dalam industri teknologi hari ini. Setiap tahun muncul peranti dengan ciri dan fungsi baru dikeluarkan oleh pengeluar.

Samsung pula lebih dikenali sebagai pengeluar terbanyak yang kerap menghasilkan beberapa peranti daripada siri berbeza setiap tahun.

Galaxy J untuk peranti kelas bawah, A kelas pertengahan manakala S dan Note untuk kelas atasan.

Menariknya bagi tahun ini, model paling dinantikan pastinya Samsung Galaxy S9 dan S9 Plus yang bakal membuat kemunculan sulungnya di World Mobile Congress (WMC) 2018 berlangsung di Barcelona, 25 Februari ini.

Namun sebelum bermulanya tarikh berkenaan, spesifikiasi dan beberapa keping gambar peranti berkenaan sudah pun mula tiris.

Rojak Daily Skop! senaraikan lima jangkaan Galaxy S9 dan S9 Plus:

1. REKAAN HAMPIR SAMA

Hampir sama dengan Galaxy S8 bukan?
Berdasarkan gambar menerusi sumber yang boleh dipercayai, rekaan keseluruhan Galaxy S9 berkemungkinan hampir sama 90 peratus dengan Galaxy S8.

Konsep skrin tanpa bezel ‘Infinity Display’ serta reka bentuk melengkung bahagian hadapan dan belakang gabungan bahan logam dan kaca akan sama digunakan untuk peranti ini.

Penggunaan konsep yang sama ini bukanlah satu perkara yang negatif kerana ia menjanjikan keselesaan genggaman dengan pengalaman premium.

Malah, saiz yang ada pada Galaxy S8 ketika ini menjadi antara peranti tanpa bezel yang paling selesa digenggam ketika ini.

Bagaimanapun, anda mungkin dapat melihat perbezaan kedudukan pengimbas cap jari yang dipindahkan dari atas ke bawah lensa pada model ini.

2. BAHAN LOGAM 12 DARIPADA SAMSUNG

Rekaan sama tetapi bahan material yang berlainan mungkin.
Samsung telah pun memfailkan ‘trademark’ jenis logam 12 kepada European Union Intellectual Property untuk menggunakan bahan ini pada peranti mereka.

Metal 12 ini membolehkan peranti menjadi lebih ringan dan tahan lasak.

Untuk makluman, ia adalah jenis logam yang dibangunkan oleh Samsung menggunakan bahan magnesium dan aloi aluminium.

Bahan ini telah pun digunakan pada Samsung Notebook 9 yang dikeluarkan untuk tahun ini.

Selepas diuji menerusi Galaxy S7 versi prototaip, kebarangkalian Galaxy S9 dan S9 Plus menggunakan ‘Metal 12’ adalah sangat tinggi.

3. PERBEZAAN KETARA ANTARA DUA MODEL 'FLAGSHIP'

Jurang perbezaan antara model biasa dan plus kini lebih jauh.
Jika tahun lalu, Galaxy S8 dan versi Plus hanya dibezakan dengan saiz skrin dan bateri tetapi pada tahun ini, jarak antara dua model ini dijauhkan dengan penggunan dua lensa.

Konsep sama ini sudah lama digunakan oleh Apple menerusi model iPhone 7 dan 7 Plus mereka.

Pengguna yang mahukan model yang lebih canggih nampaknya terpaksa berbelanja lebih. Fungsi ‘potrait’ antara yang dimahukan pengguna masa kini.

Kapasiti RAM dan storan juga berbeza kali ini.

4. KAMERA DIPERTINGKATKAN

Sensor kamera dengan kedudukan pengimbas cap jari di bawahnya.
Jenama Samsung terpalit sebagai model yang mempunyai kamera terbaik dalam arena telefon pintar.

Bagaiamanapun, dengan kemunculan beberapa ‘flagship’ jenama lain nampaknya menggugat kedudukan mereka.

Galaxy S9 dan Plus dianggap sebagai ‘comeback’ Samsung untuk mendapatkan takhta teratas.

Menurut beberapa laporan daripada sumber terbabit, model ini akan berupaya merekod video perlahan ‘Super Slow-mo’ sehingga 1000fps seperti mana yang telah ada pada model Xperia XZ Premium.

Selain itu, keupayaan apertur yang digunakan model ini juga menjadi perbualan hangat.

Sensor kamera ini dikatakan hadir dengan apertur yang boleh berubah daripada f/2.5 hingga f/1.5.

5. SPESIFIKASI 2018!

Spesikasi penuh pada kotak jualan Galaxy S9
Bagi yang ‘dahagakan’ prestasi telefon pintar, Galaxy S9 dan S9 Plus bakal hadir dengan dengan cip pemprosesan Snapdragon 835.

Bagaimanapun, bagi pasaran Asia termasuk Malaysia anda akan menerima Exynos 9 Octa 9810.

Cip Exynos ini pada awalnya dikatakan menggunakan 10nm sama dengan Snapdragon 835. Namun, ada juga khabar angin mengatakan ia bakal menggunakan jenis 8nm.

Jika ya, ia sudah pastinya memberi sedikit kelebihan pada pengguna Asia menandangkan 8nm lebih efisyen.

Bagi penggunaan RAM dan storan pula, Galaxy S9 dijangka menggunakan 4GB RAM/64GB dan 4GB RAM/128GB.

Galaxy S9 Plus pula berkemungkin mempunyai 6GB RAM/ 64GB dan 6GB RAM/128GB storan serta 6GB RAM with 256GB storan.

Perlu diingatkan segala fungsi dan spesifikasi ini hanyalah jangkaan semata-mata berdasarkan gambar yang tertiris di laman sesawang.

Malah, spesifikasi penuh pada kotak Galaxy S9 juga telah tular di media sosial.

Gambar reka bentuk peranti ini juga sudah pun terdedah dan berdasarkan sejarah lalu, ia berkemungkinan tepat.

Untuk pengumuman rasmi, anda boleh tunggu 25 Februari ini menonton acara pelancaran di link disediakan ini, Samsung Unpacked Event.