Ketika sebilangan pihak dalam negara terus menerus menyebarkan persepsi umum kononnya Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara yang gagal berikutan prestasi ekonominya yang dikatakan tenat, laporan Prospek Ekonomi Global dikeluarkan Bank Dunia mengenai Malaysia baru-baru ini menunjukkan sebaliknya.

Bank Dunia dalam laporan yang diterbitkan setiap dua kali setahun itu menyebut unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2017, 2018 dan 2019 telah disemak semula kepada unjuran yang lebih tinggi iaitu 0.6, 0.4 dan 0.5 peratus masing-masing.

Ramalan Bank Dunia terhadap ekonomi Malaysia

Semakan semula unjuran KDNK yang lebih tinggi bagi tahun 2017 itu berpunca daripada pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku pertama 2017 yang dicatatkan pada 5.6 peratus seperti diumumkan bulan lepas.

Selari dengan perkembangan tersebut, Bank Dunia meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan mencatat pertumbuhan 4.9 berbanding 4.3 yang diramalkan di dalam laporan yang sama pada Januari 2017.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Unit Perancang Ekonomi, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, laporan Prospek Ekonomi Global pada 4 Jun 2017 itu jelas menunjukkan bahawa Bank Dunia yakin dengan kekuatan ekonomi Malaysia.

Katanya, semakan semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia oleh Bank Dunia itu juga membuktikan Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

Malah, beliau menyatakan firma-firma penyelidikan seperti Citi Research dan UOB Bank juga berkongsi sentimen yang sama dengan meningkatkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 5 peratus.

"Perdagangan global yang semakin pulih mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia, disokong oleh permintaan import yang semakin meningkat daripada negara-negara maju dan peningkatan aliran dagangan dengan China.

"Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport 24.1 peratus bagi suku pertama 2017; eksport ke Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah meningkat 12, 18 dan 22 peratus masing-masing, manakala jumlah dagangan dengan China berkembang 34 peratus.

"Saya menggesa pihak swasta terus bekerjasama dengan kerajaan untuk membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi dari segi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan. Sokongan daripada rakyat Malaysia juga memainkan peranan penting untuk memastikan kerajaan mampu menguruskan ekonomi negara dengan baik dengan melaksanakan dasar-dasar menyokong pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat," katanya.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport 24.1 peratus bagi suku pertama 2017.

Sasaran defisit fiskal negara

Menurut laporan itu, Bank Dunia turut menjangka ekonomi Malaysia akan kekal kukuh dan berdaya mampan kerana pelarasan dasal fiskal yang dilaksanakan sebagai tindak balas kepada kejatuhan harga komoditi tenaga minyak dan gas mengurangkan kesan kepada imbangan fiskal negara apabila Malaysia terus berjaya mencapai sasaran defisit fiskal setiap tahun.

Bagaimanapun, pemulihan harga komoditi telah melonjakkan sentimen perniagaan dan pelaburan. Peningkatan di dalam aktiviti pembuatan dan perdagangan juga telah merancakkan pertumbuhan eksport Malaysia seperti dilaporkan baru-baru ini.

"Dasar monetari Bank Negara yang akomodatif akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara di samping konsolidasi dasar fiskal yang akan mengurangkan defisit fiskal dan membantu menampan nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK.

"Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan luaran dan cabaran ekonomi global sejak beberapa tahun yang lepas, semakan semula unjuran kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia mengesahkan bahawa Malaysia mampu mencapai sasaran yang ditetapkan sekiranya kita terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh," katanya.