Isu kebanjiran warga asing terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja di negara ini sudah banyak kali diperkatakan. Sejak puluhan tahun lalu ia hebat diperbahaskan ramai rakyat Malaysia.

Kementerian Sumber Manusia pernah menganggarkan sebanyak 6.7 juta pekerja asing berada di negara ini baru-baru ini. Daripada jumlah tersebut, 2.1 juta pekerja asing mempunyai permit dan bakinya adalah imigran haram.

Secara umumnya, sebahagian besar rakyat Malaysia membantah pekerja asing di negara ini. Bagaimanapun, bagi segelintir daripada mereka terutama dalam kalangan majikan, pekerja asing merupakan satu keperluan.


PERBEZAAN PANDANGAN

Bagi golongan majikan, pekerja asing diperlukan untuk bekerja dengan mereka dalam pelbagai sektor yang kurang menarik minat warga tempatan untuk menceburinya.

Sektor yang dimaksudkan adalah pekerjaan yang sukar, kotor dan berbahaya (3D) membabitkan industri peladangan, perkilangan, pembinaan dan pembersihan.

Bukan golongan majikan pula berpandangan lambakan warga asing bakal menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini.

Pada mereka PATI berpotensi untuk terlibat dalam aktiviti jenayah dan tidak bermoral memandangkan mereka tidak memiliki sebarang rekod yang boleh dikesan dengan mudah oleh pihak berkuasa negara ini. Perbezaan pandangan itu masih berterusan sehingga sekarang.


PUSAT JUDI HARAM JADI LOKASI

Satu operasi yang dilakukan oleh Bahagian Risikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 7 Ogos lalu bagaimanapun sedikit sebanyak menyokong pandangan golongan bukan majikan.

Operasi Ikrar (OPS GEGAR) melibatkan kekuatan seramai 64 anggota penguatkuasa itu dijalankan di beberapa pusat-pusat hiburan berkonsepkan ‘family karaoke’, tempat permainan snuker dan dart di Jalan Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur.

Lebih membimbangkan, risikan awal Imigresen mendapati premis-premis yang menggunakan pekerja asing tersebut menyediakan permainan judi atas talian kepada orang ramai. Operasi itu dilakukan berdasarkan maklumat orang ramai warga asing bekerja tanpa pas atau dokumen yang sah di premis-premis mewah di kawasan tersebut.


81 WARGA ASING DITAHAN

Dalam operasi berkenaan, seramai 47 lelaki warga Bangladesh, 18 lelaki dan empat perempuan warga Myanmmar, satu lelaki dan enam perempuan warga Indonesia, empat lelaki warga India dan satu lelaki warga Thailand yang bekerja tanpa dokumen sah ditahan.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Turut ditahan enam lelaki warganegara Malaysia yang mengaku sebagai pengurus atau penyelia premis terbabit semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota penguatkuasa JIM. Premis-premis perjudian terbabit tidak mempunyai lesen yang sah untuk menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

"JIM akan memanjangkan isu ini kepada pihak berkuasa tempatan tentang aktiviti perjudian atas talian yang disyaki dijalankan secara tidak sah di kawasan ini untuk tindakan susulan mereka.

"Wang tunai RM11,200 hasil daripada pendapatan perjudian turut dirampas semasa serbuan dijalankan. Sebanyak 7 Borang 29 (saman saksi) dikeluarkan ke atas pekerja-pekerja bagi membantu siasatan lanjut," kata Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Al dalam satu kenyataan.

Kesemua warga asing terbabit ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan.