Walaupun temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sudah melabuhkan tirainya lebih kurang dua minggu yang lalu, kehanggatannya masih dirasai sehingga ke hari ini.

Peminat sukan tanah air mengambil kesempatan turun beramai-ramai ke gelanggang kejohanan sepanjang temasya berlangsung untuk memberikan sokongan yang padu kepada kontinjen negara. Para atlit kebangsaan pula mempamerkan semangat juang yang jitu dan prestasi yang memberangsangkan.

Kesudahannya, Malaysia berjaya muncul juara keseluruhan edisi Sukan SEA kali ini dengan jumlah kutipan 145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa.

Selain daripada acara sukan yang dipertandingkan, turut meninggalkan kesan mendalam di hati peminat adalah persembahan yang diadakan pada upacara penutup terutamanya sebuah lagu ‘berhantu’ daripada seorang yang layak dianggap sebagai legenda.


LAGU BERHANTU

Upacara penutup Sukan SEA ini berlangsung pada sebelah malam 30 Ogos di Stadium Nasional Bukit Jalil. Selain daripada perarakan atlet dan pelbagai persembahan kebudayaan, pengunjung yang hadir turut disajikan dengan dendangan lagu-lagu popular tempatan dari zaman 1950-an sehingga masa kini.

Segmen yang diberi nama 'Soundtrack: Negaraku' itu menampilkan ramai penyanyi popular seperti Datuk M. Nasir, Datuk Sheila Majid, Salamiah Hassan, Azlan Typewriter, Joe Flizzow, Vince Chong, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Atai, Francissca Peter, Amy Search, Hijjaz, Man Bai, Jason Lo, Black, Faizal Tahir dan ramai lagi.

Bagaimanapun, ramai yang berpendapat bahawa lagu yang paling memukau dan meninggalkan kesan adalah lagu "Standing In The Eyes Of The World" dendangan ratu rock yang tidak asing lagi, Ella.

Lagu ‘berhantu’ ini berjaya mengembalikan semula memori indah rakyat Malaysia sewaktu 19 tahun yang lampau. Tatkala itu, Ella mendendangkan lagu yang sama ketika temasya berlangsungnya Sukan Komanwel Kuala Lumpour 1998.

Kali ini juga, keseluruhan stadium gegak gempita dengan suara orang ramai yang turut sama menyanyikan lagu tersebut.

Menariknya, lagu tersebut dimuat naik rakyat Malaysia di media sosial termasuk menyatakan komen yang memuji persembahan Ella pada malam itu. Malah, ramai juga mengatakan mereka mengalirkan air mata mendengar keasyikkan lagu itu.


GABUNGAN DUA KOMPOSER MANTAP

Ramai yang tahu bahawa lagu "Standing In The Eyes Of The World" merupakan lagu rasmi kejohanan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998. Namun, tidak ramai yang tahu kisah di sebalik pembikinan lagu tersebut terutamanya mengapa tajuknya di dalam bahasa Inggeris.

Menurut New Straits Times, idea untuk lagu tema kejohanan tersebut bermula daripada Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Ahmad Bakri Shabdin. Dia mendapat inspirasi dari kejayaan lagu tema Sukan Olimpik Barcelona 1992 iaitu “Friends Forever”.

“Kami mahukan sebuah lagu yang menggambarkan semangat Malaysia yang mahu menganjurkan dan menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Komanwel,” ujarnya.

Ahmad Bakri kemudiannya melantik komposer tempatan, Datuk Wah Idris untuk menghasilkan lagu tersebut. Mereka pernah berkerjasama sebelum ini menghasilkan lagu bagi mempromosikan Pesta Malaysia 1991.

Bagi mempromosikan temasya sukan tersebut ke dunia luar, lagu temanya perlu dihasilkan di dalam dua versi bahasa iatu Inggeris dan Melayu. Atas tujuan tersebut, Wah memulakan pencarian bagi memilih seorang komposer terkenal di luar negara bagi berkerjasama dengannya untuk menghasilkan lagu tersebut.

Pada awalnya, Wah menghubungi komposer terkenal dunia Broadway, Sir Andrew Lloyd Webber dan bekas anggota kumpulan The Beatles, Sir Paul McCartney. Malangnya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kedua-duanya terpaksa menolak pelawaan daripada Wah tersebut.

Namun, pencarian Wah berakhir apabila David Gates bukan sahaja bersetuju untuk berkerjasama menghasilkan lagu tersebut tetapi turut sama menyanyikannya. Gates merupkan bekas penyanyi kumpulan soft rock Amerika Syarikat yang popular pada tahun 70-an iaitu Bread.


ANTARA GATES DAN ELLA

Pada permulaannya, Wah dan Gates berkomunikasi melalui telefon dan fax (zaman sebelum penggunaan meluas Internet). Wah kemudiannya bersiap sedia untuk menemui Gates di Los Angeles tetapi sebaliknya Gates mengatakan untuk berjumpa di Kuala Lumpur sahaja kerana kebetulan dia akan mengadakan persembahan di sana.

Maka pada September 1997, Gates tiba di Malaysia untuk berkerjasama menghasilkan lagu tema Sukan Komanwel 1998. Menurut Wah, proses menghasilkan lagu tersebut hanya mengambil masa tiga jam sahaja.
Akhirnya terhasillah lagu "Standing In The Eyes Of The World" di dalam dua versi iaitu Inggeris nyanyi Gates bagi tujuan pasaran antarabangsa dan versi Bahasa Melayu dendangan Ella bagi pasaran tempatan.

“Versi Gates adalah berlainan sedikit kerana akan menerapkan gaya yang dimilikinya. Ianya tidak sama dengan versi lagu dendangan Ella. Ianya akan memfokuskan selera pasaran antarabangsa,” katanya.

Nyata, warga Malaysia lebih jatuh cinta dengan versi Ella untuk lagu tersebut. Sama ada vokal Ella atau Gates, kedua lagu tersebut dianggap berjaya menghiburkan ramai pendengar dan paling penting, ia meninggalkan nostalgia sangat mendalam buat rakyat Malaysia terhadap kejohanan sukan bertaraf dunia itu.