Minggu lalu pengedar rasmi Apple mengumumkan mengenai jualan gudang penghabisan stok mereka yang bermula 2 Mac.

Paling menarik terdapat peranti iPhone yang dijual serendah RM200 iaitu iPhone 5S berkapasiti 16GB! Bagaimanapun, ia terhad pada 10 pembeli sahaja.

Bukan itu saja, banyak lagi produk Apple yang dijual pada harga 'tidak masuk akal'.

Harga jualan ini juga telah membuatkan ramai yang tidak sabar mendapatkan peranti kegemaran mereka itu.

Malah, ia turut membuat ramai rakyat Malaysia yang tinggal sekitar Kuala Lumpur ‘naik gila’ untuk beratur awal di pusat membeli belah MyTown, Cheras bermula, semalam.

Hasilnya, jarak orang ramai yang beratur boleh dikatakan di luar jangkaan. Panjangnya sehingga ke jalan raya!

Sebagai bukti, anda boleh lihat gambar yang dimuat naik oleh netizen di media sosial.

Malah, video yang dirakam netizen juga membuktikan sambutan luar biasa terhadap jualan ini. Mungkin ramai yang teruja mahukan iPhone RM200 berkenaan.

BERATUR PANJANG TAPI SALAH TEMPAT

Ada yang terpaksa berlari disebabkan beratur lama di tempat yang salah.
Difahamkan, orang ramai sudah mula mengerumuni luar perkarangan pusat membeli belah tersebut sejak malam, semalam.

Mereka beratur dari pintu depan MyTown sehinggalah di laluan luar bangunan. Difahamkan juga, jumlah yang beratur sejak semalam melebihi 400 orang. Namun, jumlahnya mungkin lebih sejak jam 7 pagi tadi.

Bagaimanapun, di sebalik keterujaan ini ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan pengurusan Switch.
Selepas lama beratur di pintu hadapan MyTown, Switch pada saat-saat akhir meminta orang ramai untuk beratur di bahagian stesen Grab di Ikea.

Perkara ini sudah pasti membangkitkan kemarahan orang ramai yang telah bersusah payah beratur sejak malam semalam. Malah, ada yang terpaksa berlari bagi mendapatkan giliran.

SEBAHAGIAN JUALAN SUDAH 'SOLD OUT'

MyTown dibanjiri dengan peminat Apple.
Sementara itu, sehingga jam 10.36 pagi tadi, MacBook Air 11 inci (64GB) dan iPhone 5S 16GB (Silver) sudah pun habis dijual.

Selain itu, jika anda berhasrat untuk beratur ke MyTown sekarang, Switch dalam kenyataan di laman sesawang mereka menyarankan supaya anda tidak mengunjungi cawangan berkenaan pada hari ini.

“Kami mungkin tidak dapat memenuhi permintaan anda hari ini,” katanya.

Namun, jika anda masih berhajat untuk beratur, Switch turut menjual iPhone 6 pada harga RM1,399, iPhone X 64GB (RM4,899) iPhone X 256GB (RM5,649) dan MacBook Air 11 inci (RM2,799).

Pelanggan juga boleh mendapat produk Apple yang lain termasuk Apple TV, iMac, iPad, iPod dan MacBook Pro sehingga 4 Mac ini.