Pada 29 Ogos 1996, satu bencana melibatkan pengeksportan haiwan hidup berlaku apabila sebuah kapal membawa sebanyak 67,000 ekor biri-biri terbakar dan hilang di Lautan India.

Insiden sama pernah dilaporkan berlaku pada tahun 1980 apabila 40,600 biri-biri mati dalam kebakaran di atas kapal yang berlayar dari Tasmania ke Iran.

Bencana pengeksportan haiwan hidup turut berlaku di Malaysia pada tahun 1998 apabila 2,400 haiwan ternakan tersadai selepas tiba dari Geraldton di Australia Barat dengan kapal MV Anomis.

Ejen pemilik kapal tiba-tiba membatalkan kontrak menyebabkan kapal itu tidak dibenarkan memasuki Pelabuhan Klang.

Apabila kapal itu akhirnya berlabuh selepas mendapat perintah dari Mahkamah Tinggi, sebanyak 285 kambing dan 113 lembu ditemui mati akibat kelemasan, stres dan pneumonia.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. M. Mohamed Idris berkata, itu antara peristiwa-peristiwa menyedihkan melibatkan pengeksportan haiwan hidup.

"Pada umumnya kepentingan ekonomi jauh mengatasi belas kasihan terhadap haiwan. Terdapat sisi gelap dalam perdagangan (pengeksportan haiwan hidup) ini," katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.


SITUASI DI MALAYSIA

S. M. Mohamed berkata, di negara ini pengangkutan haiwan hidup melalui jalan raya dari satu destinasi ke satu destinasi merupakan amalan biasa. Sebagai contoh ayam atau itik diangkut dengan menggunakan lori.

Bagaimanapun, beliau menyatakan haiwan ini kebiasaannya dibiarkan terdedah kepada haba dan matahari malah dibiarkan tanpa makanan, minuman serta peredaran udara yang mencukupi sepanjang perjalanan.

Sangkar plastik untuk mengurung ayam atau itik itu pula mengandungi kira-kira 10 sehingga 12 ekor sedangkan ia cuma berukuran 915 mm panjang dan 510 mm lebar dan 305 mm tinggi. Sangkar itu disusun tinggi sehingga ke atas bagi setiap sangkar dalam lori atau trak pengangkutan.

Jelasnya, situasi itu menyebabkan haiwan terbabit termengah-mengah akibat mengalami tekanan haba serta ruang yang terhad.

"Layanan keatas haiwan di pasar ternakan pula mendedahkan bahawa haiwan kerap didera melalui kecuaian pekerja pengangkutan.

"Dalam satu insiden di Pasar Jalan Kuantan, pegawai SAM menyaksikan adegan pekerja menarik sangkar ayam keluar dari lori dengan membiarkan sangkar jatuh dari lori ke lantai menyebabkan hentakan dan goncangan yang dahsyat ke atas haiwan terbabit," katanya.


KAJIAN AKADEMIK

S. M. Mohamed juga menyatakan kajian yang dijalankan Pusat Maklumat Kebajikan Haiwan Universiti Cambridge menyebut perjalanan bagi ayam atau itik tidak boleh terlalu lama.

Malah, haiwan ternakan terbabit perlu diberikan ruang secukupnya dalam pengangkutan sepertimana dalam kurungan di tempat ternakan.

Bagaimanapun, syarikat pengangkutan kebiasaannya cuba memuatkan seberapa banyak haiwan ke dalam kenderaan selagi boleh ditolak masuk. Lebih malang, haiwan itu akan dibiarkan berdiri dengan tekanan tubuh daripada haiwan lain di sekelilingnya.

"Adakah kita sebagai masyarakat penyayang menerima kaedah pengeluaran daging yang mengurung haiwan dalam keadaan sesak dan tidak sesuai ini.

"Tiada undang-undang untuk mengawal pengangkutan haiwan hidup untuk melindungi kebajikan haiwan dengan berkesan sepanjang perjalanan," katanya.