Sebut saja forensik, pasti ramai yang membayangkan siasatan jenayah berprofil tinggi membabit kemalangan maut atau kes pembunuhan kejam.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) forensik bermaksud pengetahuan perubatan yang diperlukan dalam pengadilan.

Ya. Bahan bukti forensik merupakan bahan atau maklumat yang diperolehi melalui kaedah saintifik untuk digunakan ketika perbicaraan di mahkamah.

Semasa penyiasatan, bahan bukti forensik yang dikumpul akan dibentangkan di mahkamah.

Bagaimanapun, pada zaman teknologi masa kini, jenayah tidak terhad pada kelakuan fizikal semata-mata kerana terdapat jenayah siber yang semakin berleluasa.

Namun, tahukah anda Malaysia sebenarnya memiliki kemampuan bertaraf dunia dalam bidang forensik digital?


KEWUJUDAN FORENSIK DIGITAL

Sudah 15 tahun Jabatan Digital Forensik ini beroperasi memantau pergerakan atas talian di Malaysia.
Kementerian Sains Teknologi dan Innovasi (MOSTI) pada 27 April 2002 telah meluluskan cadangan CyberSecurity Malaysia (CSM) untuk menubuhkan satu Jabatan Forensik Digital.

Menurut laporan yang dikeluarkan CMS, badan terbabit diamanahkan untuk merintis teknologi forensik digital selaras dengan perkembangan pesat teknologi digital di dunia.

Selain untuk individu, penubuhan jabatan ini untuk menyediakan bantuan pakar kepada jabatan lain.

Antaranya adalah kepada agensi penguatkuasaan undang-undang, perundangan serta institusi-institusi akademik. Sehingga kini Makmal Forensik Digital CyberSecurity Malaysia merupakan satu-satunya makmal forensik yang terunggul di Malaysia.

Jadi apakah peranan sebenar jabatan ini dan apa kepentingan kepada anda?

JEJAK PERGERAKAN ATAS TALIAN

Penggodam di luar sana hanya menunggu masa untuk menggodam akaun sosial media anda.
Ironinya, hampir setiap rakyat Malaysia mempunyai maklumat peribadi di atas talian. Setiap komunikasi atau aktviti perpindahan yang berlaku, data terbabit akan meninggalkan kesan yang mungkin tidak disedari.

Jika berlaku sebarang isu yang membawa kepada masalah jenayah, rekod berkaitan ini penting untuk digunakan dalam siasatan dan pembuktian kes di mahkamah.

Menjelang tahun 2020, Malaysia dijangka mengalami peningkatan berterusan kadar celik teknologi maklumat (IT) dan jabatan ini sentiasa bersiap sedia dengan apa jua kebarangkalian.

Sejak tahun 2015, pelbagai platform baharu diperkenalkan. Bukan saja bermanfaat kepada orang ramai malah turut meningkatkan kualiti seharian dengan kemunculan Internet of Things (IoT).

Namun, harus diingatikan platform yang anda gunakan adalah sama dengan apa yang penjenayah guna untuk mencapai sasaran mereka.

Jika kita menggunakan platform sosial media seperti Facebook, WhatsApp , begitu juga penjenayah. Hanya perlu daftar saja, semuanya di hujung jari.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa meningkatkan tahap piawaian kualiti siasatan supaya segala corak pergerakan dapat dicegah lebih awal.

Antara agensi penguatkuasaan yang mendapatkan khidmat forensik digital CSM adalah seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Selain itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Malaysia juga mendapatkan khidmat CSM.

Antara kes berprofil tinggi yang mendapat bantuan CSM adalah ketika musim perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014.

Hasil kerjasama ini, PDRM dan CSM dapat membanteras kegiatan pertaruhan dan perjudian bola sepak membabitkan nilai pertaruhan sebanyak RM7.5 juta sehari.

PENUBUHAN MAKMAL X FORENSIK SIBER

Siapa sangka Malaysia mempunyai kepakaran forensik digital bertaraf dunia.
Antara cabaran dihadapi unit forensik ini pastinya jenis kes yang diterima saban tahun. Setiap kes yang diterima adalah unik dan tidak semua peralatan forensik digital sedia ada mampu untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Di saat kepesatan teknologi yang sering berubah-ubah, jabatan ini juga perlu memastikan kepakaran mereka mencapai kualiti dan relevan.

Oleh itu, Makmal Forensik Digital CSM telahpun menambah satu lagi makmal penyelidikan forensik siber yang dikenali sebagai Makmal X Forensik Siber.

Secara keseluruhannya, penubuhan Makmal Forensik Digital CyberSecurity Malaysia yang dilengkapi dengan peralatan canggih setanding dengan makmal forensik digital bertaraf dunia.

Nama CSM juga telah terpahat di peringkat antarabangsa sebagai sebuah Pusat Rujukan Nasional bertaraf dunia.

Oleh yang demikian, jika anda memandang rendah terhadap keupayaan Malaysia dalam aspek keselamatan siber, fikirlah sekali lagi.

Anda juga boleh melayari laman sesawang, Cyber Security Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut.