Keunikkan boria sememangnya sudah popular sejak dulu lagi terutama di Pulau Pinang yang cukup sinonim dengan persembahan seni tari tradisional.

Jika diamati sejarah asal boria ini agak unik kerana secara umumnya permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein oleh Muawiyah Abi Suffian.

Ia kemudian dibawa oleh tentera British berfahaman Syiah dari India ke Pulau Pinang seawal abad ke-19 dan wadah hiburan yang diterapkan menggabungkan lakonan, sketsa, tarian dan nyanyian rangkap bersyair diketuai seorang penyanyi yang dikenali sebagai tukang karang.

Pelbagai mesej dan unsur nasihat diungkapkan dalam bait-bait lagu selain hubungan di antara pakaian, muzik, dialog dengan cerita yang dimainkan hendaklah sesuai. Jika cerita Arab maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab.

Begitu juga dengan muzik dan tarian yang dimainkan mirip bentuk Arab termasuklah bahasa yang digunakan. Sketsanya banyak unsur nasihat berdasarkan isu semasa/isu keluarga dalam mengharungi kehidupan seharian.


DALAMI ILMU SENI

Festival Boria Pulau Pinang 2017 akan diadakan di Tapak Pesta Pulau Pinang, pada 9 Disember ini.


Bagi Muhammad Danial Harith, 12, dari Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat memberitahu peluang mempelajari seni boria adalah sesuatu yang baru baginya.

Akuinya, pelbagai cara dan teknik baru ditunjukkan guru dan jurulatih dalam mengayakan aksi tari, lagu dan lirik.

Malah, kesemua elemen ini harus dipelajari dan diketengahkan agar warisan seni tidak hilang dalam masyarakat tempatan.

“Saya tidak merasa rugi malah rasa bertuah kerana dapat mempelajari seni boria ini diusia muda kerana secara tidak langsung dapat mendalami ilmu seni yang lain dari yang lain.

“Pada zaman sekarang, seni mempunyai pelbagai irama termasuk k-pop, rap dan macam-macam lagi malah, seni tradisi tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja.

“Siapa lagi yang harus memperkayakan seni budaya tradisi jika bukan kita sendiri san generasi muda akan datang,” katanya.


BANGKITKAN SEMULA KEGEMILANGAN BORIA

Norsyahrul Syafsaidatina Ismail (tengah) melihat tarbus dan tongkat yang digunakan dalam persembahan boria yang ditunjukkan Zahir Ahmad (kiri) dan Datuk Anuar Ahmad ketika sidang media Festival Boria 2017 di Pulau Pinang baru-baru ini.


Dalam memperjuangkan irama boria terus dipelihara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang tampil mengadakan Festival Boria Pulau Pinang 2017 yang akan diadakan di Tapak Pesta Pulau Pinang, pada 9 Disember ini.

Festival yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang dan kerajaan negeri bermula dari 8 sehingga 11 malam.

JKKN bakal menempa sejarah tersendiri apabila 10 pasukan bakal berentap dalam peringkat akhir bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai lebih RM20,000.

Timbalan Pengarah JKKN Negeri, Norsyahrul Syafsaidatina Ismail berkata, penganjuran ini dibuat sebagai usaha mengajak dan menarik minat generasi Y dalam menghayati dan menyertai festival sebagai satu identiti warisan seni negeri.

Objektif utama penganjuran festival ini adalah untuk membangunkan semula kegemilangan seni boria Pulau Pinang agar tidak pupus selain ia merupakan satu elemen pendidikan yang perlu ditonjolkan kepada generasi baru.

"Karya seni boria juga merupakan satu wadah persembahan seni asli Pulau Pinang selain Ghazal Parti, Chingay dan Bangsawan manakala festival boria pada tahun ini berkonsepkan era1960-an.

“Dua kategori dipertandingkan iaitu remaja dan terbuka selain turut diadakan perarakan beca berhias dan 10 finalis kumpulan boria.

“Antara kumpulan boria yang terpilih terdiri Kumpulan Boria SMK Desa Murni, SMK Taman Widuri, SMK Sungai Acheh, Horey-Horey, SMK Permatang Tok Jaya, Omara, Anak Tanjung, Gema Permata, KRT Bukit Gedung dan Angkatan Budaya Sari,” katanya ketika ditemui Rojak Daily Skop!.

Hadir sama, Penolong Pengarah JKKN negeri merangkap Pengarah Projek Festival Boria 2017, Zahir Ahmad dan Ketua Satu, Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang, Datuk Anuar Ahmad.