"Orang tua pergi menjala, menjala sambil mata tertutup.
Dulu anakmu dianggap gila, kini mampu teruskan hidup.
Terima kasih Mama, Ayah!"


Tweet berserta gambar bersama pusara arwah ibu dan ayahnya bukan hanya tular, malah turut menimbulkan rasa sayu dan sebak dalam kalangan pengguna sosial media. Sehingga hari ini, gambar terbabit menerima sebanyak 2,000 ‘likes’ dan 2,500 perkongsian. Masyarakat mana tidak sebak apabila membabitkan kehilangan orang tersayang bukan? Jadi siapakah gadis ini?

Adilla Kamaruzzaman, 21, merupakan bakal graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) diploma dalam jurusan seni reka. Namun, apa menariknya mengenai pelajar ini adalah kisah disebalik perjalanan hidupnya yang penuh cabaran sepanjang bergelar siswazah. Rojak Daily Skop! berkongsi kisah Adilla yang boleh dijadikan pedoman pada remaja lain khususnya penuntut universiti untuk menjadi seorang yang berjaya.

1. TERFIKIR PUTUS ASA, FIKIR SEKALI LAGI

Sebahagian hidup Adila dibesarkan tanpa kasih sayang ibu bapa. Ibunya meninggal dunia pada usianya empat tahun akibat kemalangan jalan raya. Bapanya pula meninggal dunia pada usianya, 10 tahun akibat terjatuh di dalam bilik air. Dia dibesarkan oleh kakak tirinya sebelum mendiami rumah anak yatim pada usia 11 tahun.

Sejak daripada itu, penghuni di rumah anak yatim itulah menjadi tempatnya menumpang kasih sayang. Namun, kisah sedih itu tidak pernah dijadikan alasan atau ‘tiket’ bagi Adilla memberontak menjadi remaja bermasalah. Buktinya Adilla kini menanti tarikh bersejarah untuk bergelar graduan.

2. MULA MENABUNG PADA USIA MUDA

Ini sebenarnya amalan yang harus dipraktikkan kanak-kanak pada masa kini. Sejak kecil kita diajar oleh ibu bapa supaya memasukkan lebihan duit belanja ke dalam tabung. Bagi Adilla, dia mula menabung secara konsisten pada umur 11 tahun ketika mendiami rumah anak yatim.

Setiap kali ada sumbangan atau derma ketika Ramadan dan rumah terbuka, setiap kali itulah duit yang diperolehinya akan dimasukkan ke dalam tabung simpanannya. Hasilnya, duit itu menjadi ‘penyelamat’ untuk Adilla menjejak kaki ke menara gading.

Antara 'tweet' Adilla yang meruntun jiwa pengguna Twitter

3. PTPTN BUKAN UNTUK MELARAM ATAU BELI IPHONE

Lazimnya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi wang pinjaman yang disalurkan kepada pelajar tempatan untuk menampung kos perbelanjaan. Namun, ada kalanya wang itu disalah guna sehingga ada yang menggunakannya untuk membeli barang mewah sepeti iPhone.

Namun tahukah anda, masih ada golongan yang tidak berkemampuan dan hanya bergantung penuh duit terbabit sehingga tamat semestar. Apa yang dilakukan Adilla, dia terlebih dahulu akan menggunakan duit PTPTN untuk membayar yuran dan membeli peralatan pengajian. Selebihnya akan digunakan untuk duit belanja meskipun jumlahnya tidaklah banyak dan adakalanya hanya tinggal RM400.

“Saya peruntukkan sehari hanya RM10 untuk makan. Kalau tidak cukup duit, saya hanya akan duduk bilik dan makan biskut atau mee segera yang diberi oleh rumah anak yatim lama saya,” katanya.

4. BIJAK AMBIL PELUANG

Pelajar yang mempunyai ibu bapa pastinya lebih mudah jika wang perbelanjaan tidak mencukupi. Namun, bagi Adillah dia harus bijak mencari duit untuk ‘survive’. Menurutnya, sekiranya dia tidak mampu untuk membeli peralatan untuk disuruh oleh pensyarahnya, dia akan mula mencari alternatif lain.

Apa yang dilakukan adalah mengambil upah menolong membuat kerja ataupun mengemas barang pensyarah terbabit. Duit itulah yang akan digunakan untuk menambah pendapatan.

Setiap kali tiba tarikh lahirnya, Adilla akan menziarahi pusara kedua ibu bapanya.

5. PENGALAMAN MATANGKAN DIRI

Disebalik perjalanannya yang penuh liku, Adilla juga tidak terlepas daripada masalah daripada dipergunakan pihak tertentu. Sedar dirinya adalah anak yatim piatu tetapi ia bukanlah ‘tiket’ untuk pihak tertentu untuk mengambil kesempatan dan menipunya. Menurutnya, dia pernah dibayar hanya RM200 bagi satu lukisan mural dinding sekolah yang pada awalnya dijanjikan sebanyak RM1000.

“Saya anggap itu satu ujian sebagai pelajar seni dan pengalaman ini sedikit sebanyak menjadikan saya lebih berhati-hati untuk memberi perkhidmatan lukisan,” katanya.

Namun, perkara utama yang harus diambil iktibar daripada siswazah ini adalah jangan sesekali lupa ibu bapa biarpun mereka tiada lagi di dunia. Kita mungkin terlepas pandang kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa kita selama ini. Janganlah bila mereka tiada nanti, rasa mahu menghargai mereka itu baru timbul.