SKOP
Telefon Pintar Samsung Galaxy Note 8 Paling Sempurna?
Teka teki berhubung tarikh pelancaran Samsung Galaxy Note 8 sudah pun terjawab iaitu pada 23 Ogos ini. Namun, apa yang menjadi persoalan ramai adalah rekaan sebenar peranti terbabit.
Berita baik bagi peminat siri Note ini, individu yang sering ‘membocorkan’ maklumat berkaitan telefon pintar iaitu Evan Blass mula mendedahkan rekaan sebenar Galaxy Note 8 di Twitter miliknya, baru-baru ini.
Berdasarkan gambar terbabit, rekaan Galaxy Note 8 dilihat banyak mewarisi reka bentuk Samsung Galaxy Note 7 yang sedikit petak. Jika dilihat pada saiz skrin pula, ia dikatakan bersaiz 6.3 inci dengan paparan resolusi 2160 x 4428 pixel menggunakan panel AMOLED melengkung. Saiz bezel yang kecil juga hampir menyerupai ‘Infinity Display’ Galaxy S8. Selain itu imej Stylus SPen yang tidak banyak berubah juga kelihatan pada satu daripada gambar berkenaan.
TELEFON PINTAR SAMSUNG PERTAMA DENGAN DWI LENSA
Bagi gambar pada sisi belakang pula, terdapat dua lensa berserta 'flash' dan pengimbas cap jari. Jika rekaan ini tepat, maka kedudukan cap jari nampak gayanya bakal menimbulkan masalah bagi sesetengah pengguna kerana kedudukan yang hampir dekat dengan lensa kamera.
Namun, dari sudut positif pada gambar ini pula adalah kehadiran dwi lensa terbaru daripada Samsung. Galaxy Note 8 berkemungkinan menjadi telefon pintar Samsung pertama yang dilengkapi lensa berkembar.
EMPAT FUNGSI BAHARU
Walaupun tiada informasi rasmi bagaimana dwi lensa ini berfungsi, terdapat satu sumber yang mungkin boleh menjelaskan ciri berkenaan. Perkara ini didedahkan sendiri oleh sebuah anak syarikat Samsung iaitu Samsung electro-Mechanic. Antara fungsi yang bakal diterapkan adalah 3X Smart Zoom, Dual Fussion, Perspective Video dan Super Night Shot.
Ciri 3X Smart Zoom membolehkan lensa mengambil imej jarak jauh tanpa mengorbankan kualiti pixel. Imej yang dihasilkan kelihatan lebih jelas dan tidak pecah berbanding penggunaan Digital Zoom. Selain itu fungsi Perspective View pula membolehkan lensa menghasilkan gambar yang mampu dilihat dari sisi kanan dan kiri iaitu sekitar 45 darjah. Fungsi ini dlihat mirip kepada ciri Virtual Shot yang ada pada peranti ‘flagship’ Samsung ketika ini.
Super Night pula menghasilkan imej lebih terang ketika pengambaran kurang cahaya atau pada waktu malam. Gambar pada waktu malam sebenarnya adalah kekuatan Samsung kerana sensor digunakan pada Galaxy S7 dan S8 adalah yang terbaik setakat ini untuk pengambaran ‘low light’. Akhir sekali adalah fungsi Dual Fusion yang berkemampuan mengambil imej High Dynamic Range (HDR) dengan lebih jitu.
SPESIFIKASI SAMA GALAXY S8
Mengikut tradisi yang dibawa Samsung, siri Galaxy Note selalunya akan mewarisi segala spesifikasi yang ada pada siri Galaxy S. Apa yang membezakan siri Note adalah kehadiran Stylus SPen serta perisian tambahan bagi menyokong fungsi SPen. Peranti ini dijangka dikuasakan dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 835 atau Exynos 8895 dan berkemungkinan mempunyai RAM sebesar 4GB atau 6GB.
Menurut Samsung, Galaxy Note 8 akan dipasarkan secara dua peringkat iaitu pada September dan Oktober. Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea Selatan akan menjadi negara terawal menerima peranti terbabit manakala negara lain termasuk Malaysia akan menerimanya pada Oktober. Apapun, kita tunggu saja 23 Ogos ini.
Must-Watch Video