Beberapa hari lalu, negara kita dilanda paras suhu yang agak rendah iaitu antara 21 hingga 22 darjah celsius.

Suhu sejuk ini agak jarang dinikmati penduduk Malaysia kerana lebih banyak terdedah dengan suhu panas dan cuaca yang tidak menentu.

Maka dengan itu ramai jugalah netizen di media sosial yang memuat status mengatakan mereka seakan berada di London atau Tokyo, Jepun.

Tidak kurang juga ada yang menyunting gambar kampung halaman dilanda salji seperti di Batu Pahat, Johor dan Ipoh Perak.

Perasaan teruja ini boleh dianggap normal kerana negara kita memang jarang menerima suhu mencecah 21 darjah Celsius.

Namun, tahukah anda suhu yang dicapai ketika ini tidak sesejuk mana kerana terdapat sebuah perkampungan di Russia mencecah suhu hingga -50 darjah celsius!

BULU MATA PUN BOLEH BEKU

Lembu pun dah kesejukan.
Kawasan tersebut digelar sebagai Kampung Siberia dan terletak di daerah terpencil di Oymyakon.

Apa yang menarik perhatian, kampung ini juga dinobatkan sebagai kampung tersejuk di dunia dengan kadar purata pada Januari ini adalah -50 darjah celsius.

Malah, beberapa laporan media antarabangsa menyatakan keadaan cuaca ini boleh menyebabkan bulu mata penduduk membeku apabila berada di luar rumah dalam tempoh singkat.

Menurut stesen kaji cuaca negara berkenaan, kampung berkenaan mencatatkan -59 darjah Celsius, namun penduduk setempat mendakwa bacaan dicatatkan mereka adalah -67 darjah Celsius.

MASIH MENGGUNAKAN TANDAS LUAR

Walaupun kesejukan, penduduk masih gembira tinggal di perkampungan ini.
Mungkin nampak mengagumkan tetapi apabila termometer digital yang dipasang pada tahun lalu mengalami kerosakan, ia dianggap mimpi ngeri oleh penduduk di sana.

Difahamkan kampung berkenaan dihuni hampir 500 penduduk dan kedudukannya terletak sekitar 750 meter di atas paras laut.

Dari segi budaya kampung berkenaan, kebanyakan rumah masih mempunyai tandas luar dan penduduk kebanyakannya masih membakar arang dan kayu untuk memanaskan suhu rumah.