Skop
Upah Bagi Rokok Ketika Bantu Majlis Kahwin Satu Kesalahan!
Pada 18 Julai lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengadakan operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) di sekitar bandar Seremban. Operasi itu memberi tumpuan terhadap pematuhan larangan menjual rokok dibawah harga minimum RM10, tanda larangan menjual rokok kepada orang belum dewasa (OBD) dan amaran kesihatan pada bungkusan rokok.
Seramai 58 anggota penguatkuasa kesihatan terdiri daripada Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitan daripada Unit Perundangan Kesihatan Awam jabatan itu menyertai operasi berkenaan..
Operasi itu bermula pada pukul 2 petang dan berakhir pada pukul 1 pagi keesokan harinya melibatkan pemeriksaan ke atas 14 premis kekal dan premis tidak kekal (meja tepi jalan).
HASIL OPERASI PPKHT 2004
Dalam tempoh kurang 24 jam operasi itu berlangsung, sebanyak 14 notis dikeluarkan melibatkan kesalahan menjual rokok dibawah harga minimum, dua notis menjual rokok sebatang-sebatang, lapan notis tidak mempamerkan larangan menjual rokok kepada OBD dan 12 notis tiada amaran kesihatan.
Nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan dalam operasi itu sebanyak RM18,000. Dalam operasi itu juga, sebanyak 2,826 paket rokok yang menyalahi PPKHT 2004 dirampas dengan nilai rampasan RM13,287.90.
Jika peniaga terbabit gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh sebulan, kes boleh dibawa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.
Hasil daripada operasi itu menimbulkan tanda tanya adakah peruntukkan undang-undang sedia ada belum cukup untuk menggerunkan peniaga supaya tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan kerajaan berhubung penjualan rokok bagi melindungi kesihatan masyarakat?
Malah, statistik pada tahun 2015 menunjukkan sebanyak 2,452 notis dikeluarkan melibatkan kesalahan dibawah PPKHT 2004, sebanyak 2,190 notis pada tahun 2016 dan 1,532 notis bagi setengah tahun pertama tahun ini.
Menjadi dasar Malaysia untuk mengurangkan permintaan terhadap produk tembakau bagi mengurangkan bekalannya seperti yang terkandung dalam 'World Health Organization Framework Convention On Tobacco Control' (WHO FCTC)
Malaysia menandatangani WHO FCTC pada 23 September 2003 dan berkuatkuasa pada 16 September 2005. PPKHT 2004 adalah berlandaskan WHO FCTC.
KEBAIKAN BERHENTI MEROKOK
Menurut nasihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), merokok merupakan ketagihan kepada nikotin. Justeru, banyak kebaikan untuk berhenti merokok sebagai contoh:
- penampilan bertambah bersih
- kesihatan dan kawalan penyakit kronik bertambah baik
- paru-paru semakin cergas dan kuat
- dapat menjimatkan wang
- risiko mendapat penyakit berkurangan (kanser paru-paru, penyakit jantung, kanser mulut, dan lain-lain)
- dapat menumpukan perhatian kepada penjagaan diri sendiri dan keluarga tersayang
KESALAHAN DILAKUKAN RAMAI TIDAK PEKA MELIBATKAN ROKOK
PPKHT 2004 yang diwartakan pada 23 September 2004 bukan setakat larangan menjual rokok dibawah harga minimum, kewajipan mempamerkan tanda larangan menjual rokok kepada OBD dan keperluan amaran kesihatan pada bungkusan.
Jika kita mendalami peraturan itu secara terperinci baru kita sedar betapa kerajaan Malaysia amat mengambil berat tentang kesihatan rakyat negara ini terutama dalam bahaya merokok.
Sebagai contoh, PPKHT 2004 turut menetapkan upah kepada pekerja atau mana-mana pihak dalam bentuk rokok merupakan satu kesalahan (situasi yang sering berlaku dalam majlis-majlis kahwin atau gotong royong).
Rokok juga tidak dibenarkan dijual pada harga diskaun oleh mana-mana pihak. Selain itu, peniaga yang gagal memastikan tiada sesiapa merokok dalam premis mereka boleh juga dikenakan kompaun sehingga RM2,500 jika gagal membuktikan mereka telah mengambil segala tindakan yang wajar untuk memastikan tiada aktiviti merokok dalam premis mereka.
Berikut antara peraturan PPKHT 2004 yang boleh menyebabkan seseorang dikenakan kompaun sehingga RM5,000 atau denda sehingga RM10,000 kerana rokok:
- larangan mempamerkan atau melekatkan apa-apa iklan hasil tembakau
- larangan menjual, mengedar atau mencetak apa-apa majalah, surat khabar, filem, pita video atau apa-apa benda yang mengandungi iklan hasil tembakau
- larangan mempromosikan hasil tembakau sebagai pertukaran bagi apa-apa tajaan, pemberian, hadiah, upah, biasiswa atau faedah yang serupa
- larangan menawar, memberi atau mengedar sampel percuma hasil tembakau
- larangan pemberian atau hadiah dalam penjualan hasil tembakau
- larangan penjualan hasil tembakau kepada OBD
- larangan menjual hasil tembakau di bawah harga jualan runcit dengan tujuan promosi
- larangan menjual rokok dalam paket dibuka
- larangan menjual rokok kurang dari 20 batang dalam satu paket
- larangan menempatkan mesin layan diri bagi hasil tembakau
Must-Watch Video