HIBURAN
Tiket ‘Janji With Dayang’ Sold Out, Dayang Nurfaizah Tak Sangka Sambutan Luar Biasa
Penyanyi, Dayang Nurfaizah meluahkan rasa terkejut dan bersyukur apabila tiket bagi persembahan eksklusifnya Janji With Dayanghabis terjual dalam tempoh singkat.
Menurut Dayang atau nama penuhnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43, pada mulanya dia bimbang sekiranya tiket tidak mendapat sambutan memandangkan konsep konsert kali ini berbeza dan lebih intim.
“Memang ada kerisauan takut tiket tak terjual. Tapi selepas dimaklumkan semua habis terjual, rasa lega dan terkejut.
“Sehingga ke hari ini masih ramai yang berharap dapat beli tiket lagi,” katanya pada majlis sidang media yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.
Menurut Dayang, persembahan eksklusif ini merupakan impian yang sudah lama ingin direalisasikan, namun kali ini dia memilih untuk melaksanakannya di lokasi terbuka berbanding auditorium seperti kebiasaan.
“Sudah lama saya berhasrat memiliki sebuah persembahan yang lebih peribadi dan eksklusif, tapi di lokasi terbuka.
“Akhirnya impian itu terlaksana dan lebih istimewa apabila ia berlangsung di dua lokasi yang cukup unik dan berbeza,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan, Dayang berkata selain menyanyikan lagu-lagu daripada album Janji, dia turut akan mempersembahkan karya-karya lain yang dekat di hati peminat.
“Memang agak mencabar untuk buat pilihan lagu, tapi saya akan pastikan persembahan itu nanti jadi momen istimewa buat semua.
“Ramai juga yang tanya sama ada akan ada artis jemputan atau duet, tapi saya boleh jamin tiada kejutan sebegitu. Ini adalah persembahan eksklusif antara saya dan peminat,” ujarnya.
Janji With Dayang turut memberi ruang kepada dua bakat baharu iaitu Anwar Hamzah dan Naki untuk membuka tirai konsert.
“Penyanyi muda perlukan platform seperti ini. Saya sendiri pernah bermula sebagai penyanyi pembuka konsert Datuk Sheila Majid pada usia 19 tahun dan peluang itu telah membuka ruang besar buat saya.
“Jadi kali ini saya ingin buat perkara sama untuk mereka,” kata penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.
Dayang turut berharap agar suatu hari nanti dia berpeluang mementaskan persembahan serupa di kampung halamannya.
“Walaupun berskala sederhana, saya harap semuanya berjalan lancar. Dan saya sangat berharap satu hari nanti dapat bawa persembahan eksklusif ini ke Sarawak pula,” katanya.
Persembahan yang bakal berlangsung di dua lokasi berbeza iaitu Top View, The Top Pulau Pinang pada 23 Ogos dan Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur pada 27 September itu mendapat sambutan luar biasa daripada para peminat.
Must-Watch Video