Suudu

Lima Makanan 'Eksotik' Patut Cuba Jika Berkunjung Ke Batu Pahat!

gempak
Hanafis Haris
20/04/2018
04:50 MYT
Sponsor Banner
Lima Makanan 'Eksotik' Patut Cuba Jika Berkunjung Ke Batu Pahat!
Sebut saja Johor pastinya gelaran 'harimau selatan' sudah terbayang di fikiran. Johor sememangnya terkenal dalam arena sukan bola sepak menerusi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Namun realitinya Johor turut dikenali dengan kehebatan makanan yang menjadi simbolik negeri itu.
Nasi Briyani, Asam Pedas, Kacang Pool, Laksa Johor, Mee Bandung, Nasi Goreng Daun Pisang, semua ini adalah makanan ikonik negeri itu.
Setiap kali bertandang ke Johor, itulah makanan yang menjadi santapan pengunjung.
Namun, tahukah anda Johor terutamanya Batu Pahat mempunyai lebih daripada itu.
Jika anda ingin bercuti ke daerah sekitar Johor dan sasaran anda adalah makanan, mungkin Batu Pahat destinasi paling sesuai.
Ini kerana Batu Pahat turut mempunyai makanan yang sangat eksotik dan agak 'underated' yang sebenarnya patut anda cuba.
Rojak Daily Skop! sediakan lima makanan yang patut anda nikmati jika melalui kawasan Batu Pahat.
1. BELANGKAS SAMBAL GODAK
Makan paling eksotik di Batu Pahat Pernah cuba makan belangkas? Jika belum, anda wajib ke Senggarang, Batu Pahat.
Lokasi ini terletak di Pantai Rekreasi Sungai Lurus dan hidangan paling ‘rare’ adalah belangkas sambal godak!
Untuk makluman, belangkas dicari bukan kerana isinya, tetapi telurnya yang berwarna kekuningan. Rasanya pula lemak-lemak dan kenyal.
Belangkas ini boleh dimasak beberapa jenis gaya masakan termasuk masak lemak cili api dan belangkas bakar. Namun paling popular adalah masak sambal godak!
Jika anda berkunjung ke sini, anda boleh terus ke gerai Anjung Santai Najilah.
Alamat: Pantai Sungai Lurus Senggarang, 83200, Minyak Beku, Johor. Waktu Operasi 6 petang hingga 11.30 malam (Setiap hari kecuali Selasa)
2. KERANG SAMBAL SUNGAI LURUS
Melihat warna sambalnya saja sudah menyelerakan. Masih lagi kawasan sama iaitu Sungai Lurus. Disebabkan faktor kawasannya yang berhampiran laut, maka sumber makanan laut seperti kerang dan belangkas amat mudah didapati di sini.
Kerang menjadi hidangan utama jika anda ke gerai ini. Sama ada makan bersama nasi atau meratah saja kerang ini.
Menariknya kerang ini, ia dimasak dan digaul bersama sambal resipi unik pemilik gerai ini.
Silalah datang awal bermula jam 6 petang kerana difahamkan, kerang sambal ini selalu ‘sold out’ pada jam 8 malam.
Jarak perjalanan hanya lebih kurang 20 minit daripada Bandar Batu Pahat.
Sama seperti belangkas, jika anda menikmati makanan kerang ini, anda berpeluang menikmati pemandangan laut yang terbentang luas.
Tiada alamat yang spesifik kerana ia terletak di tepi laut.
Apa yang anda perlu lakukan adalah menuju je arah Pontian dari bandar Batu Pahat. Selepas Pekan Koris bersedia untuk melihat signboard Sungai Lurus.
Teruskan perjalanan sehingga melihat gerai berkenaan.
3. NASI LEMAK SUP TAUHU
Agak 'rare' untuk menikmati nasi lemak dengan sup tauhu. Nasi lemak yang bakal dihidangkan kepada anda ini bukanlah nasi lemak biasa kerana ia dihidangkan dengan menu tambahan iaitu sup tauhu.
Hidangan ini bukan hanya menjadi kegemaran masyarakat tempatan, malah pelancong luar sanggup ke Batu Pahat untuk bersarapan dengan menu nasi lemak ini.
Malah, anda boleh lihat pelbagai kaum duduk semeja menikmati makanan ini. Satu Malaysia!
Keunikannya bukan saja terletak pada keenakan nasi lemak semata-mata, hidangan sup tauhu itu juga turut menjadikan makanan ini lebih unik rasanya.
Terdapat beberapa lokasi atau gerai yang menghidangkan makanan ini dan antaranya adalah Warung Ahmad Nasi Lemak.
Alamat: 127, Jalan Tongkang Pechah, 83000 Batu Pahat, Johor Waktu Operasi: 6.45 pagi - 12.30 tengah hari (Setiap hari)
4. ASAM PEDAS TELUR IKAN MAYONG
Pernah cuba telur mayong? Mungkin ada yang pernah merasai keenakan telur ikan mayong ini. Namun jika anda tidak pernah makan seumur hidup anda, inilah masanya.
Jika sebelum ini asam pedas dimasak dengan ikan atau daging, kini tiba giliran telur ikan mayong.
Keenakannya yang lemak-lemak ditambah pula dengan rasa pedas memang sesuai untuk hidangan makan tengah hari anda.
Harganya pula amatlah murah. Jika dibungkus dalam bekas hanya RM20 saja.
Anda boleh pergi ke restoran D’Santai Mesra Asam Paras Telur Mayong.
Alamat: JBP110B, Jalan Parit Bilal, Bukit Pasir, 83050, Batu Pahat Waktu Operasi: 8 pagi - 5 petang
5. NASI GORENG KAMBING PAK LURAH
Nasi goreng yang dihidangkan bersama kambing bakar! Mungkin anda sudah terbiasa dengan lauk kambing seperti Kari Kambing 40 Hari di Air Hitam, Johor yang cukup popular.
Namun anda juga mungkin boleh cuba nasi goreng kambing Pak Lurah ini.
Rasanya amat mengagumkan terutama yang meminati masakan kambing.
Apa yang unik mengenai kambing ini, ia dimasak dengan sos resipi hasil nukilan pemiliknya sendiri.
Oleh itu, rasanya agak berlainan berbanding kambing bakar yang lain. Rasanya agak manis-manis dan ‘creamy’.
Alamat: Jalan Muar-Yong Peng, 83400 Seri Medan, Johor, Malaysia Batu Pahat 83400 Waktu Operasi: 9:00 AM - 5:00 PM (Setiap hari kecuali Sabtu)
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024