Nurburgring yang terletak di bandar Nurburg, Jerman adalah antara litar paling terkenal di dunia. Sejak 1970, litar sepanjang 25 kilometer (km) itu akan menjadi tuan rumah kepada perlumbaan tahunan Nurburgring 24 Hours.
Bakal diadakan dari 20 hingga 23 Jun, kejohanan tahun ini bakal menyaksikan penyertaan sehingga 200 jentera dengan lebih 600 pelumba berentap antara satu sama lain di atas litar yang turut dikenali sebagai ‘The Green Hell’ itu.

Sebagai penghormatan kepada perlumbaan berprestij itu, Recaro memperkenalkan kerusi Sportster CS Nurburgring Edition yang dibangunkan untuk kegunaan di jalan raya dan juga litar lumba.
Terhad kepada 999 unit sahaja, kerusi ini menampilkan struktur yang selesa dengan tahap sokongan badan dan bahu yang tinggi. Bahan yang digunakan juga berkualiti tinggi bagi memastikan ia tampil menarik dan tahan lama.
Seperti kerusi Sportster CS biasa, edisi Nurburgring ini menggunakan ‘backrest’ langsing dan ringan yang dibalut upholsteri kulit premium berwarna hitam. Ia dipadankan dengan jahitan kontras berwarna merah yang dihasilkan dengan tangan serta jalur merah pada bahagian belakang.

Tidak ketinggalan adalah ciri-ciri eksklusif seperti sulaman logo Recaro dan litar Nurburgring pada bahagian perehat kepala, serta lencana nombor siri pada bahagian sisi.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan ciri-ciri seperti pelarasan, pemanas dan juga beg udara sisi (ditawarkan secara pilihan).
Bagaimanapun, harga dan ketersediaan kerusi edisi terhad ini tidak dinyatakan.