3 Gadis Manis
Belum Setahun Berkahwin, Dottie Tak Runsing Soal Anak
Pelakon Dottie akui tidak pernah risau jika dia dan suami, Mohd Haffis Abu Hassan belum menimang cahaya mata dalam masa setahun perkahwinan mereka.
Dottie atau nama sebenarnya Nor Syuhaida Abdul Razak, 29, berkata dia dan suami kini masih menikmati fasa hidup berdua.
"Perkahwinan kami baru memasuki tiga bulan dan terus-terang kami tidak runsing tentang cahaya mata lagi.
"Namun jika selepas usia setahun perkahwinan kami nanti kami masih belum menimang cahaya mata mungkin kami sudah boleh mula memikirkannya.
"Buat masa ini saya mahu enjoy untuk hidup berdua dahulu, namun jika ada rezeki anak dalam masa terdekat saya tidak menolak dan menerimanya sahaja," katanya kepada Astro Gempak.
Dottie dan pasangan berkahwin pada 25 Disember lalu dalam majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Bercerita mengenai kehidupannya kini, Dottie memberitahu ia sedikit berubah kerana dia kini lebih memberi keutamaan kepada suaminya dalam apa jua yang dilakukan.
"Sudah tentu berbeza kerana keperluan kepada suami dan keluarga perlu diutamakan.
"Jika dulu balik shooting lewat malam dan keesokan paginya saya boleh tidur sahaja dan bangun lewat tapi sekarang penat macam mana pun saya perlu bangun awal untuk uruskan makan pakai suami yang mahu ke tempat kerja.
"Pekara yang banyak berubah ialah tanggungjawab kerana kita hidup berdua bukan lagi seorang macam dulu," katanya lagi.
Mengenai perkembangan lain, Dottie kini sedang muncul dalam mini drama digital 3 Gadis Manis yang bersiaran di Astro Gempak atau melalui laman www.3gadismanis.com.my.
Selain Dottie, 3 Gadis Manis telah dibintangi tiga pelakon utama iaitu Mira Filzah, Ayda Jebat dan Cristina Suzanne.
Teks oleh Syafiqah Jalal