Pelawak dan pengacara Zizan Razak mengakui ada kalanya dirinya sering terlalai dengan kehidupan sebagai selebriti sehingga tiada masa bersama keluarga.

Menurut Zizan, kesibukan dirinya menyebabkan dia kadangkala sukar untuk bertemu ibunya walaupun mereka tinggal serumah.

"Dalam mengejar kejayaan, ada ketika kita lupa soal kesihatan dan hubungan dengan keluarga.

"Saya tidak nafikan bahawa saya sukar untuk bertemu ibu walaupun kami tinggal serumah kerana saya sering pulang tengah malam dan keluar awal pagi dan ketika itu dia sedang tidur.

"Bukan mahu tunjuk baik, tetapi seboleh-bolehnya saya tidak mahu leka apabila dikurniakan rezeki dan dalam masa yang sama saya mahu membalas jasa emak saya dulu.

"Tentang jodoh tu biarlah saya serah pada Allah dan sekarang ini saya mahu fokus sepenuhnya pada kerjaya kerana semangat semakin membara selepas menerima penghargaan daripada peminat," katanya kepada Gempak.

Zizan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media telefilem terbitan Astro First Eksklusif, Saya Jual Ye Bang, di GSC Signature Gardens, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Selain Zizan, telefilem Saya Jual Ye Bang turut menampilkan Uqasha Senrose, Nadiyah Sahab, Idris Khan dan Datuk AC Mizal.

Telefilem Saya Jual Ye Bang, akan menemui penontong menerusi Astro First Eksklusif (saluran 480) dan platform digital ‘On Demand’, mulai 14 Mac ini.