Pendakwah bebas Da'i Syed Shah Iqmal mengakui berdepan pelbagai cabaran untuk bergelar agamawan.

Kata Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullai, 24, dirinya sama seperti insan lain tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.

"Kalau tengok penampilan saya pun ramai yang kata tak nampak macam Da'i pun. Itulah niat saya, untuk tidak membeza-bezakan Da'i dan orang biasa.

"Saya sama seperti orang biasa di luar sana, ada dosa, pahala dan buat maksiat juga. Cuma Allah sentiasa tutup aib kita dengan rahmat-Nya.

"Allah berikan saya sedikit kelebihan pengetahuan dan ilmu agama kepada saya untuk disampaikan.

"Bukannya bermaksud apabila saya menjadi Da'i, saya tiada dosa," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan pelancaran portal Dr. Irma di Shah Alam baru-baru ini.

Syed akui netizen menjadi salah satu cabaran dalam usaha untuk menyampaikan ilmu pada masa kini.

"Saya anggap kata-kata netizen itu seperti kita buang sesuatu dan pam.

"Malah, saya selalu diingatkan Ustaz Kazim Ilias jangan baca komen netzen sebab agak sukar untuk kita puaskan hati orang.

"Yang penting kita jangan buat perkara yang melanggar syariat Allah," ujarnya yang sudah tiga tahun bergelar pendakwah bebas selepas tamat rancangan Da'i.

Syed juga kini mulai berjinak-jinak dalam dunia lakonan menerusi drama pertamanya Papa Nak Menantu dan dua single berjudul Keagungan Cintamu dan Arah.