Usaha penceramah dan pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ketika COVID-19 sedang menular, mendapat perhatian warga net.

Keprihatinan Ebit terhadap petugas hospital, barisan pertahanan negara dan mereka yang memerlukan, menjadi tular di laman sosial sehingga ramai menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan membantu kerja-kerja amal dilakukan.

Ebit sebelum ini telah memuat naik video di laman sosial Instagram (IG)nya, memberi sumbangan beberapa unit penghawa dingin mudah alih di Hospital Ampang dan Shah Alam.

Perkongsian tersebut telah mendapat perhatian selebriti tempatan seperti Datuk Seri Siti Nuhaliza, Lufya Omar, Noryn Aziz, Bienda dan ramai lagi yang memuji usaha murni Ebit.

Lufya turut menawarkan diri menjadi sukarelawan membantu Ebit dan kemudiannya disokong pengikut IG yang mahu ikut serta.

Pergi beli kfc belanja staf hospital sg buloh. Sayang mereka sangat. Mendengar ramai kawan-kawan juga sedang kuarantin diri melalui saringan disini. Doa dari jauh jer. Ya Allah. Sayu jer tengok yang jaga kaunter di kecemasan dan yang bertugas di saringan covid 19. Saya yang tengok kaunter depan tu jer dah berdebar. Nak keluar rumah takut. Tapi apa yang buat mereka berani. Kerana tanggungjawab dan mereka tahu ini semua jihad. Hanya Allah yang membalasinya. Walau mereka juga pasti risau takut macam-macam fikir. Mereka akan berusaha sehabisnya untuk menjaga diri dengan mask dan pakaian khasnya. Dan meletakkan keyakinan dan penyerahan pada Allah. Itulah ubat pejuang seperti mereka. Buat orang ramai satu jer ubat ya sekarang..duduk dirumah. Kuarantin diri masing-masing dekat rumah. 2minggu ni terus jangan keluar kecuali kecemasan dan tanggungjawab. Ya Allah disini ramai orang saya sayangi dikuarantin. Jagakanlah mereka semua. Sembuhkanlah mereka ya Allah. Yang diicu selamatkan mereka ya Allah. Segera sembuhkan mereka. Berilah keajaiban mu. Hilangkanlah wabak virus covid 19 di seluruh Malaysia dan dunia ya Allah-ebitlew PertubuhanKasihUmatMalaysia CIMB 8603546376

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew) on

Ebit turut menghulurkan bantuan makanan kepada kakitangan Hospital Sungai Buloh, Tentera dan Polis Diraja Malaysia yang sedang bertungkus lumus memerangi COVID-19.

Yang terkini, Ebit berkongsi fotonya membeli 10,000 keping topeng muka (penutup hidung dan mulut) untuk diagihkan.

Katanya, walaupun harga topeng muka tersebut lebih mahal daripada biasa namun dia bersyukur kerana dapat menghadiahkannya kepada mereka yang memerlukan.

"Akhirnya saya dapat beli 10 ribu mask dari beberapa orang yang menjualnya. Walau mah daripada biasa, tak apalah.

“Syukur saya dah hadiahkan pada yang minta pada saya sebelum ini. Duit waktu ni boleh menjadi saham akhirat,” katanya.

Kesemua topeng tersebut telah pun diedarkan ke beberapa lokasi menggunakan perkhidmatan rider.

Perkongsian Ebit di laman sosial Facebook itu telah ini mendapat 50,000 tanda suka, dengan 2,600 komen dan 5,300 perkongsian.