Pelakon filem Twilight, Gregory Tyree Boyce ditemui meninggal dunia di sisi kekasihnya, Natalie Adepoju.

Boyce, 30, dan Adepoju, 27, ditemui di sebuah kondominium di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun, punca kematian masih tidak dapat disahkan dan pihak polis masih menunggu laporan toksikologi.

Boyce yang melakonkan watak Tyler Crowley dalam filem Twilight (2008) antara lainnya pernah muncul dalam filem Apocalypse dua tahun lalu.

Kematian Boyce disedari oleh sepupunya yang curiga apabila pelakon itu tiada di Los Angeles dan akhirnya menemui mayat kedua-dua mereka di sebuah kondominium.

Boyce meninggalkan seorang cahaya mata perempuan berusia 10 tahun manakala Adepoju mempunyai seorang anak lelaki.

Polis turut mengesahkan kematiannya bukan disebabkan kejadian jenayah.

Selain itu, polis juga menemukan serbuk putih dalam sekeping piring berserta straw dan kad plastik berhampiran bahan tersebut.

Sumber: News.com, BBC, CNN