HIBURAN
Mahu Backup Mulan, Ahmad Dhani Selongkar Temu Bual Lama Maia, Siap Letak Label 'Fitnah' & Suruh Move On
Nama pemuzik terkenal Indonesia, Ahmad Dhani kembali menjadi bualan hangat selepas memuat naik sebuah video bertajuk “Kompilasi Gibah dan Fitnah Maia Estianty (di saat sudah punya suami)” di saluran YouTube miliknya, semalam.
Video berdurasi 24 minit 20 saat itu menyenaraikan pelbagai rakaman temu bual melibatkan bekas isterinya, Maia Estianty, yang didakwa sebagai ‘fitnah’ dan ‘gibah’ (aib) terhadap dirinya dan isteri, Mulan Jameela.
Dhani berkata, tindakan itu dilakukan bukan untuk menyerang tetapi sebagai bentuk pembelaan terhadap Mulan dan anak mereka, Ali, yang menurutnya sering menjadi sasaran tohmahan warganet.
“Konten ini dibuat atas dasar pembelaan kepada Feea dan Ali yang bundanya terus difitnah dan digunjing,” katanya dalam video tersebut.
Menerusi kompilasi itu, Dhani turut menyelitkan beberapa kenyataan Maia daripada pelbagai saluran YouTube selebriti seperti Ussy-Andhika, Boy William, Denny Sumargo dan Daniel Mananta, lengkap dengan tangkap layar berita dari portal media Indonesia.
Apa yang lebih menarik perhatian, setiap kali Maia memberi kenyataan yang dikatakan menyentuh dirinya atau Mulan, Dhani meletakkan label besar bertulis ‘Gibah’ atau ‘Fitnah’ pada skrin.
Malah, beberapa petikan ayat al-Quran dan nasihat ulama turut diselitkan sebagai menyokong pendiriannya bahawa membuka aib atau membuat tuduhan palsu merupakan perbuatan tercela.
Sebagai contoh, ketika Maia berkata kepada Boy William bahawa:
“Kalau Mulan secara profesional, dia orangnya profesional. Personalnya, nggak ya. Ha-ha. Kalian semua udah tahulah ya,” ujar Mulan.
Dhani kemudian melabelkannya sebagai “Gibah” dalam video.
Dalam video sama, ahli kumpulan Dewa 19 itu juga menolak dakwaan bahawa dirinya pernah berlaku curang dengan Mulan sewaktu masih menjadi suami kepada Maia.
Malah, dia turut menafikan dakwaan Maia yang pernah mengatakan berlaku kejadian keganasan rumah tangga (KDRT) sebelum mereka berpisah.
“Ya ampun Bun. Udah 15 tahun kok masih ngocehin yang dulu-dulu," tulisnya.
Kapsyen itu seolah-olah menyindir Maia yang menurutnya masih terus membangkitkan kisah lama mereka walaupun sudah lebih satu dekad berpisah.
Setakat artikel ini ditulis, Maia Estianty masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendedahan tersebut.
Bagaimanapun, video berkenaan pantas menjadi viral dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Walaupun ramai yang menyokong tindakan Dhani, tidak kurang juga yang tampil mempertahankan Maia, terutama dalam ruangan komen YouTube.
Tindakan Dhani ini sekali lagi menghangatkan semula perhatian umum terhadap hubungan tegang antara tiga selebriti yang sebelum ini pernah membentuk trio muzik popular, Ratu.
Sumber: Youtube Ahmad Dhani Dalam Berita
Must-Watch Video