"Saya tak salahkan orang lain melainkan diri sendiri," begitulah kata-kata penyanyi Nabila Razali selepas video nyanyian secara langsung yang terkucil pada sebuah program baru-baru ini viral di laman sosial.

Gagal dihubungi oleh Gempak dan tidak memberikan respon terhadap mesej yang dilayangkan, akhirnya Nabila membuka mulut memberikan komen mengenai kejadian terbabit.

Menerusi kemas kini terbaru Instagram Nabila yang dimuat naik malam tadi, pelantun lagu Peluang Kedua itu memohon maaf kepada peminatnya.

"Assalamualaikum. Pertama sekali, saya mohon maaf kerana mengecewakan anda semua.

"Saya tak salahkan orang lain melainkan diri sendiri. Saya akan memperbaiki diri di masa akan datang. Saya pasti setiap apa yang berlaku ada hikmah," tulis Nabila.

A post shared by Second Chance ? (@nabila.razali) on



Tambah bekas bintang AF2013 ini lagi, dia berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kata-kata semangat untuk dirinya.

"Kepada yang DM, WhatsApp & telefon untuk tenangkan saya, terima kasih kerana selalu ada bersama saya dan berikan rasa sayang. (Anda tahu anda siapa).

"Saya sangat memerlukannya sekarang. Saya doakan segala yang baik-baik buat anda semua. Selamat malam," tulis Nabila lagi.

Terdahulu, persembahan nyanyian Nabila yang terkucil sewaktu menyanyikan lagu Peluang Kedua di program Mega Raya Ria mendapat perhatian wargamaya.

Lebih memburukkan keadaan, ramai yang mempertikaikan kemampuan vokal Nabila dan memberikan kritikan negatif kepada penyanyi itu.