Lebih selektif dalam kerjaya seni, pelakon dan pendakwah bebas PU Riz terpaksa menolak dua tawaran berlakon di Indonesia baru-baru ini.

Kata pemilik nama sebenar Haris Ismail itu, pengalaman dirawat sebagai pesakit COVID-19 benar-benar membuka matanya untuk mencari naskhah yang bersesuaian dengan jiwa.

"Saya mengaku sekarang lebih memilih karier yang kena dengan jiwa dan mahu menjadi insan yang lebih baik selepas COVID-19.

"Pengalaman itu menginsafkan saya dan seboleh-bolehnya saya mahu mencari naskhah seumpama Ada Apa Dengan Dosa," katanya kepada Gempak.

Dua drama yang ditolak Riz berjudul Immortality dan Dendam Sang Perempuan dari syarikat gergasi di Indonesia.

"Tambah pula sekarang keadaan COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya, jadi saya cuba elakkan untuk merisikokan nyawa sendiri dan orang lain juga," tambah Riz yang pernah membintangi FTV Keinginan Terakhir Suamiku Di Bulan Ramadan tiga tahun lalu.

Selain itu, Riz turut menolak tawaran daripada produksi tempatan untuk sebuah telefilem sempena Hari Raya Aidiladha.

Dalam perkembangan lain, Riz bakal pulang ke kampung halamannya bersama keluarga di Besut, Terengganu sempena Aidiladha kali ini.

"Sudah dua tahun saya tak balik ke kampung sejak semua datuk dan nenek saya meninggal dunia.

"Kali ini insya-Allah saya dan keluarga akan berkumpul semula," tambahnya.