Konsert Suara Viral minggu keempat yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan pegawai lalu lintas pembinaan, Azrul tersingkir pada program realiti nyanyian itu.

Azrul atau nama sebenarnya, Mohd. Azrul Bohari, 38, menjadi peserta ketiga yang tersingkir daripada pertandingan itu selepas Farid dan Sulastrie.

Azrul yang mempersembahkan lagu Joget Angan Tak Sudah gagal memberikan persembahan yang memuaskan apabila sekadar meraih 40.37 peratus jumlah keseluruhan pemarkahan.

Bahkan, kesemua lapan orang Juri Duduk Rumah juga menutup paparan skrin mereka ketika persembahan berlangsung.



Bertemakan Kenangan Lalu Mengusik Jiwa, konsert pada minggu ini menyaksikan eksekutif pemasaran, Ameem berada di kedudukan teratas.

Ameem menyampaikan lagu Kelmarin nyanyian asal Seventeen yang didedikasikan khas buat arwah bapanya.

BACA: "Ayah Menangis..Ada RM50 Je Dalam Bank" - Ameem Suara Viral Terkenang Arwah Bapa

Pada minggu ini juga, juri jemputan Amelina mengadili para peserta bersama dua orang juri tetap, Misha Omar dan Akim, selain lapan orang Juri Duduk Rumah.

Berikut merupakan kedudukan para peserta mengikut peratusan markah yang diperolehi pada konsert minggu keempat beserta komen daripada para juri:


#1 Ameem (Kelmarin/ Seventeen): 79.93 %
"Awak ada kekuatan yang luar biasa sebab sebab awak dapat kawal emosi yang awak nak sampaikan. Sangat kreatif dalam improvise bahagian hujung, satu tindakan yang bijak daripada awak." - Akim Ahmad



#2 Jerry (Selamanya/ Usop): 78.30 %
"Tadi saya nak nangis, awak bawa lagu ini dengan cukup baik walaupun drum beat ada selerak sikit sahaja. Sebagai penyanyi balada, awak membawakan lagu ini dengan baik." - Misha Omar



#3 Bella (Sesal Separuh Nyawa/ Datin Alyah): 76.67%
"Sebenarnya saya suka dengan tone suara awak. Sebagai pendengar suara awak yang merdu buat saya rasa tenang sahaja bila dengar" - Amelina



#4 Bobby (Sakit/ Zynn Nakal): 74.80%
"Nampak awak bersatu dengan muzik, selesa dan tak kekok, cuma, bila nampak Yonny Boi, awak nampak terganggu mungkin sebab terkejut. Apapun, tak lama tu nampak ada komunikasi antara awak dan Yonny semula." - Akim Ahmad



#5 Farah (Pujaan Hati/ Adira): 74.57 %
"Di permulaan tu kena hati-hati, pitching ada lari sikit, macam gegar bila nota rendah. Sebagai penyanyi, permulaan nyanyian itu sangat penting. Tapi apapun, saya suka suara awak." - Amelina



#6 Boy (Sampai Syurga/ Faizal Tahir): 73.40%
"Hari ini awak bagi mood yang mengantuk. Awak macam nak tidur. Saya faham dalam lagu rock ada styling letak garau, tapi kena pilih tempat, bukan secara keterlaluan. Ni macam salah bawa, suara awak tak naik. You need a wake up call." - Misha Omar



#7 Soffwany (Pudar/ Rossa): 73.38 %
"Saya ingat menerusi lagu ini akan jadi 'Hardwany', tapi masih 'soft'wany. Masih kendengaran balada. Awak kena gali lagi, kena lengkapkan diri dengan ilmu, kalau boleh nyanyi banyak genre." - Misha Omar



#8 Azrul (Joget Angan Tak Sudah/ Jay Jay): 40.37%
"Saya hari ini berasa kecewa sedikit, awak ada suara yang sedap, mak mertua saya pun suka. Bila kita buat persembahan kita kena fokus. Nampak kelemahan bila kurang fokus." - Akim Ahmad


Dalam pada itu, jangan lupa untuk mengundi peserta Suara Viral Paling Gempak pilihan anda di sini.

Undian dibuka pada pukul 11 malam sejurus selesai konsert mingguan yang diadakan pada setiap Rabu selama lima hari.

Suara Viral yang dibawakan oleh Nivea selaku penaja utama itu bakal bersiaran menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) bermula 17 Jun, setiap Rabu pada pukul 9 malam.

Dihoskan oleh Datuk Ac Mizal, penonton juga boleh menyaksikan persiapan para peserta menerusi 'Jom Intai Suara Viral' yang akan ditayangkan pada setiap Isnin dan Selasa pukul 6.55 petang.

Bagi pilihan yang lebih fleksibel, penonton juga boleh menyaksikan program tersebut secara strim menerusi aplikasi Astro GO.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program Suara Viral, layari www.gempak.com/suaraviral.