Pelakon dan pengacara Mira Filzah mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang pada tahun ini.

Kata Mira, persiapan sudah mula dilakukan namun dia tidak ingin mengulas lebih lanjut.

"Dalam tempoh dua bulan ini saya kena habiskan kerja-kerja lain yang tertangguh disebabkan pandemik.

"Saya sudah dipinang orang. Alhamdulillah, tiada rintangan sepanjang tempoh pertunangan kami.

"Untuk persiapan urusan perkahwinan adalah saya lakukan.

"Insya-Allah, apa sahaja nanti pun saya akan hantar undangan kepada pihak media," katanya kepada Gempak.

Mira ditemui ketika majlis pelancaran saluran TV penstriman Nurflix di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, hari ini.

Tambah pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu, dia akui sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.

"Saya dah bersedia nak melangkah ke alam perkahwinan.

"Alhamdulillah, setakat ini bakal suami tidak ada halangan untuk saya teruskan kerjaya seni.

"Saya tak adalah terbuka sangat, biasa-biasa sahaja, masih keep it low.

"Untuk perjalanan karier saya selepas kahwin nanti boleh tanya dia sendiri.

"Dia adalah orang yang terbaik untuk menjawab soalan itu," katanya lagi.

Terdahulu, Mira dan jejaka pilihannya, Wan Emir Astar yang merupakan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid dilaporkan bakal disatukan sebagai suami isteri sekitar bulan Oktober ini.

BACA: Mira Filzah & Wan Emir Astar Kahwin Oktober 2020?

BACA: Akhirnya Mira Filzah Dedah Status… Sudah Berpunya & Berbincang Sesama Keluarga - "Dalam Islam, Kalau Dah Ada Persetujuan Itu Kira Dah Bertunang"

Pasangan berkenaan sebetulnya sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Bagaimanapun, apabila Wan Emir melanjutkan pengajian, hubungan mereka terhenti sehinggalah kembali bertemu dan berhubung semula.

Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman dan Wan Emir pernah belajar di sekolah yang sama.

Wan Emir yang juga seorang arkitek difahamkan sudah menghantar rombongan untuk merisik pelakon wanita popular berusia 27 tahun itu.