Selepas menyepi tanpa sebarang ‘buah tangan’ baru, bintang Akademi Fantasia 2 Linda Nanuwil akhirnya bakal membuat kemunculan dengan lagu terbaru.

Masih menampilkan Ajai sebagai pencipta lagu manakala Luqman S sebagai penulis lirik, lagu Ikhlaskan Hatimu dijangkal dilancarkan pada Oktober ini.

Menurut Linda, dia secara jujurnya masih tidak bersedia untuk kembali ke industri.

“Tapi muzik itu tidak pernah mati dalam diri saya.

“Tambahan pula apabila melihat komen daripada peminat saya jadi semangat balik, walaupun ada ketika saya tertanya juga adakah mereka masih ingat saya ni.

“Jadi peminat juga lah yang memberi saya kekuatan untuk kembali ke industri,” katanya.

Menurutnya, dia juga menafikan dakwaan orang ramai yang mengatakan dia merajuk dengan industri hiburan.

“Ramai betul kata saya hilang kerana merajuk. Tidaklah, saya tak merajuk cuma ketika itu emosi saya sedikit terganggu.

"Apabila bapa saya meninggal dan ibu pula menyusul setahun kemudian.

“Namun sekarang saya dah boleh kawal perasaan, now dah lebih matang,” katanya.

Ditanya mengenai lagu terbaru yang dicipta oleh Ajai, Linda melahirkan rasa syukurnya apabila sekali lagi bergandingan komposer hebat itu.

“Selepas Jika Kau Kekasih dan Aku Cinta Kamu, abang Ajai sekali lagi sudi bekerjasama dengan saya menerusi Ikhlaskan Hatimu.

“Saya senang bekerja dengan Ajai kerana dia mementingkan kesempurnaan dan dia pandai jaga semua aspek termasuklah vokal saya.

“Lirik pun saya bersyukur sangat sebab dapat lirik daripada Luqman S. Bertuah sangat saya,” katanya.

Difahamkan lagu Ikhlaskan Hatimu bakal menemui peminat pada Oktober depan bersama muzik video.