Penyanyi yang juga bekas bintang Akademi Fantasia (AF) musim kedua, Linda Nanuwil menafikan dakwaan pernah berkahwin dengan seorang VIP sebelum ini.

Dakwaan tersebut muncul setelah dirinya tiba-tiba menghilang dari radar industri hiburan.

Linda yang kini berusia 36 tahun sedar ramai yang mempercayai cerita tersebut, namun hakikatnya dia tidak masih solo sehingga kini.

“Masih jomblo (bujang) dan saya okay saja dengan kehidupan sekarang,” jawabnya ringkas.

Mengulas mengenai penyertaannya dalam program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh, Linda berkata, dia tida akan mensia-siakan peluang dimiliki.

“Terus-terang saya tidak sangka mendapat peluang sebegini. Pada mulanya saya hanya mahu menghasilkan single baharu, tetapi dapat pula masuk GV7.

“Dua tahun lalu ketika saya menyuarakan hasrat untuk kembali aktif, ramai peminat yang mahu saya menyertai GV dan berjanji untuk memberikan sokongan.

“Jadi bila ia menjadi kenyataan, semestinya saya tidak akan mensia-siakan peluang meski sebenarnya gementar untuk berada satu pentas dengan mereka yang jauh lebih berpengalaman daripada saya,” katanya.

Dalam pada itu Linda sempat berkongsi mengenai single terbaharunya yang akan dirilis pada Oktober ini.

“Macam tak percaya masih ada yang ingat dan sudi mengikuti perkembangan saya walaupun sudah lama saya hilang dalam industri.

“Saya tahu sekarang ini ramai artis baru, tetapi demi peminat saya bulatkan hati untuk kembali merencana kerjaya seni dengan perancangan single terbaharu, Ikhlaskan Hatimu, yang dihasilkan oleh Ajai dan lirik nukilan Lukman S.

“Jika segalanya mengikut perancangan, single tersebut akan rilis pada Oktober depan atau selepas GV berakhir,” katanya.

Selain Linda 13 lagi perserta akan berentap dalam GV7 ialah Mus May, Noraniza Idris, Yantzen, Ayu Damit Rozita Izlyn, Haslienda, Asyira, Cliff Umar (vokalis Projek Pistol), Oja, Aju (vokalis kumpulan Success) dan Nomad serta dua buah kumpulan popular era 90an, iaitu Indigo dan Eva.

Rangkaian program GV7 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’.

Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober 2020. Siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam.

Konsert mingguan GV7 pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2020.

Untuk pengisian di platform digital, program Gegar Vaganza Live Plus akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020.

Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.