Pereka fesyen serta pengasas jenama terkenal Kenzo dan K-3, Kenzo Takada meninggal dunia pada usia 81 tahun semalam.

Memetik laporan CNN pada 4 Oktober 2020, punca kematian pereka fesyen berbakat besar itu adalah disebabkan oleh komplikasi yang dihidapi selepas disahkan positif COVID-19.

"Dukacita dimaklumkan, Kenzo Takada telah meninggal dunia pada usia 81 tahun selepas mengalami komplikasi dari jangkitan COVID-19.

"Takada menghembuskan nafas terakhir di American Hospital, Neuilly-sur-Seine, Perancis," tulis jurucakap jenama K-3 dalam sebuah kenyataan.

Takada mula membina nama pada tahun 1970 di Paris dan menampilkan rekaan berani yang diinspirasikan dari kembaranya di seluruh dunia.

Meskipun Takada telah meninggalkan jenama Kenzo pada tahun 1999, namun jenama itu tetap gah di persada fesyen antarabangsa sejak dimiliki oleh syarikat fesyen mewah Perancis, LVMH pada tahun 1993.

Awal Januari tahun ini, Takada telah mengasaskan jenama K-3 yang menampilkan rekaan barangan hiasan dalaman rumah.

Jenama K-3 menggabungkan rekaan yang diinspirasikan dari pengaruh barat dan unsur dari negara Jepun.

Takada dilahirkan pada 27 Februari 1939 di Himeji, Hyogo, Jepun.

Sumber : CNN

Kredit Foto : Harpers Bazaar & StyleCaster