Penyanyi dan pelakon Zain Hamid menyatakan dia seorang yang tidak menggemari untuk bertanding dalam pertandingan nyanyian.

Menurut ahli kumpulan Ruffedge ini, dia tidak terus menerima tawaran untuk menyertai program The Masked Singer Malaysia malah keputusan dibuat selepas dua hari memikirkan.

"Masa produksi hubungi bagi tawaran, saya tak terus terima. Saya minta untuk fikirkan sebab saya tak suka nak bertanding dalam pertandingan terutama dalam bidang nyanyian.

"Dengan Ruffedge pun kami masuk pertandingan masa belum ada album lagi, kira-kira 20 tahun yang lalu.

"Tapi saya ada tengok Masked Singer versi US dengan Korea. Dekat situ saya nampak program ini menarik sebab bukan hanya fokus dengan pertandingan vokal.

"Dia cuma nak bongkar siapa identiti di sebalik topeng. Itu yang saya terus terima selepas dua hari," katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah Zain, 41, dia berasa gembira apabila dapat menyanyikan lagu selain dari genre Rhythm and Blues (R&B).

"Saya rasa seronok sebab sampai tersingkir pun tak ada yang boleh teka. Saya pun boleh nyanyi bukan saja dalam genre (R&B).

"Tiap minggu saya tukar cara nyanyian. Tak sama macam mana saya dengan Ruffedge," katanya lagi.

Minggu keempat menyaksikan Rajah Brooke mengungguli di tempat pertama dengan dendangan lagu Sumpah nyanyian asal Aina Abdul.

Manakala, Musang King yang dipakai Zain terpaksa akur tersingkir apabila berada di kedudukan paling bawah dengan nyanyian lagu Situasi dendangan asal kumpulan Bunkface.

BACA: Musang King Tersingkir, Ini Recap The Masked Singer Malaysia Minggu Keempat

BACA: The Masked Singer Malaysia: Zain Hamid Berjaya Sorok Identiti Sampai Tersingkir, "Muka Remy Memang Terkejut Sebab ..."


Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak memainkan peranan sebagai juri tetap.

Di samping itu, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.

Program The Masked Singer Malaysia dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang akan dihoskan oleh Izzue Islam dan Elly Ariffin.

The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.