Komposer dan anggota kumpulan Kembara A.Ali telah menghembuskan nafas terakhirnya pagi Sabtu, 21 November 2020 pada usia 71 tahun.

Berita tersebut telah dimaklumkan sendiri oleh anaknya, Hamdan B Atan @ A.Ali. Bersama khabar duka itu, dia memaklumkan bapanya pulang ke Rahmatullah dalam keadaan tidur.

“Assalamualaikum. Saya anak kepada Hamdan B Atan @ A.Ali, dengan ini memberitahu perkara mendukacitakan. Ayah saya telah kembali ke Rahmatullah pagi tadi dalam keadaan tidur," kata Hamdan dalam pesanan WhatsApp yang dihantar kepada pihak media, termasuk Gempak.

Hamdan menyatakan, saat ini jenazah ayahnya berada di Hospital Kajang dan akan dibawa pulang ke rumah di Taman Harmoni, Bandar Teknologi Kajang, Semenyih.

"Jenazah sekarang berada di Hospital Kajang untuk urusan bawa balik ke rumah. Semoga roh arwah saya dicucuri rahmat dan ditempatkan disisi orang yang beriman. Al-Fatihah," katanya lagi.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang selepas waktu Zohor.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, 9 orang anak dan 10 cucu.

A.Ali atau nama sebenarnya, Hamdan Atan merupakan anggota asal kumpulan Kembara yang turut dianggotai oleh Datuk M. Nasir dan S. Sahlan.

Antara lagu-lagu Kembara ciptaan Allahyarham adalah Ragam Mat Dan Minah, Hidup Cara Sendiri, Ada Sepasang Mata, Kiambang dan banyak lagi.

Allahyarham pernah bersama ahli kumpulannya membuat persembahan pada malam Gala Konsert Hati Emas Kembara di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada November 2014.

Allahyarham juga merupakan komposer dan penerbit yang menaikkan nama penyanyi Zaiton Sameon, Rohana Jalil dan Wann.

Lagu ciptaan Allahyarham iaitu Menaruh Harapan yang dinyanyikan oleh Zaiton Sameon memenangi Anugerah Juara Lagu 1987.

Malah, Allahyarham juga merupakan antara gitaris tempatan terhebat.

Al Fatihah, selamat jalan buat seorang lagi permata seni negara, A. Ali.