Kemelut antara Chazynash dengan bekas isterinya, Fatin Morat menjadi topik hangat di media sosial apatah lagi selepas pempengaruh itu mengambil keputusan untuk menarik semula pemberian mutaah, rumah dan kereta.
Menerusi ruang komen di Instagram, seorang wargamaya mempersoalkan tindakan Chazy yang ingin menarik semula mutaah yang diberikan kepada bekas isteri.
“Mutaah boleh ambil balik ke? Baru tahu,” tulis individu itu.
Membalas semula komen tersebut, Chazy memberitahu keputusan yang dibuat atas sebab bekas isterinya sudah melanggar perjanjian yang mereka sudah bersetuju.
Menurut Chazy, perjanjian mereka adalah bekas isterinya itu tidak boleh menganggu kehidupannya dan menuntut harta sepencarian.
“Dah buat perjanjian macam tu dengan tuan badan sendiri. Kalau dah dapat mutaah, janganlah ganggu dan nak tuntut harta sepencarian, saya akan tarik balik mutaah tu.
“Dia dah langgar perjanjian kami… bab salah dari sisi undang-undang Islam ke tak tu, biar saya yang tanggung.
“Tapi itulah perjanjian yang kami buat… takkan dah nak tuntut harta sepencarian tapi duit saya bagi tu nak sapu. Tamak betul… tak adil untuk saya. sekian,” kongsinya.

Sebelum ini, Chazy mendakwa kehidupannya tertekan dan emosinya terganggu disebabkan permainan kotor berpanjangan yang didakwa daripada Fatin Morat.
Mahu hidup tenang bersama bakal isteri dan anak-anak, Chazy berkata dia sudah hilang sabar dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya.
Justeru itu, Chazy mengambil keputusan untuk menarik semula pemberian mutaah, rumah dan kereta yang diberikan semuanya kerana menganggap bekas isterinya sudah tidak lagi menerimanya lagi.