Sekilas
- Emma Maembong berterima kasih atas reaksi positif penonton terhadap lakonannya sebagai Zara dalam drama Suamiku Anak Mak.
- Emma mengakui rasa syukur apabila usaha lakonannya dihargai dan berharap dapat memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia suatu hari nanti.
- Drama Suamiku Anak Mak turut dibintangi oleh Keith Foo, Dian P. Ramlee dan Izzue Islam, disiarkan setiap Isnin hingga Khamis di Astro Ria dan aplikasi sooka.
Pelakon Emma Maembong menyatakan rasa terharu dan bersyukur apabila lakonannya menerusi drama fenomena berjudul Suamiku Anak Mak, menerima reaksi positif penonton.
Emma atau atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail akui dia tidak menyangka lakonannya sebagai Zara mendapat perhatian ramai dan menyifatkan setiap pujian yang diberikan sebagai satu penghargaan terhadap hasil kerja kerasnya.
“Saya tidak sangka sampai ke tahap itu. Terima kasih kepada sesiapa yang memberikan komen tersebut. Saya sangat menghargainya.
“Tadi pun saya ada berjumpa dengan pihak produksi dan mereka sendiri mengatakan lakonan saya semakin baik.
“Tapi, bila kita dah buat perkara yang sama setiap hari, kita rasa perkara itu sudah menjadi sesuatu yang biasa.
“Bila orang nampak usaha yang kita lakukan selama ini, Alhamdulillah, saya sangat bersyukur,” ujarnya.
Emma berkata demikian ketika ditemui di majlis ‘Watch Party drama Suamiku Anak Mak’ yang berlangsung di Kingston Hotel, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Tambah Emma lagi, dia juga agar sukar untuk menggambarkan perasaannya terhadap sokongan dan penghargaan yang diberikan penonton, terutamanya kepada mereka yang melihat potensi serta bakatnya sebagai seorang pelakon.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan rasa ini tapi saya sangat bersyukur atas sokongan yang diberikan. Saya betul-betul berterima kasih.
“Kepada sesiapa yang memuji lakonan dan benar-benar melihat bakat saya, saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Emma juga tidak menafikan mempunyai hasrat untuk menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) suatu hari nanti.
Jelas Emma, pengiktirafan berprestij itu pastinya menjadi satu pencapaian besar buat dirinya memandangkan dia masih belum pernah tercalon dalam mana-mana kategori FFM.
“Sudah tentu. Siapa pelakon yang tidak pernah teringin menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM kan.
“Saya tidak pernah tercalon dalam FFM. Kalau dapat, sudah tentu saya sangat bersyukur,” ulasnya.
Selain Emma, drama itu juga dibintangi oleh Keith Foo, Dian P. Ramlee dan Izzue Islam.
Saksikan Suamiku Anak Mak, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104) dan aplikasi sooka untuk mengetahui kesudahan kisah Haris, Zara dan Mak Leha.