Banyak betul cerita-cerita artis dan selebriti minggu ini. Ada yang kontroversi, ada berita gembira dan ada juga berita sedih. Kontroversi dengan kenyataan A.Aida, berita gembira kelahiran cahaya mata dan cerita sedih Awi Rafael dengan Atikah Suhaimie tak jadi kahwin.
Memang sedih selepas setahun bertunang, akhirnya beberapa hari sebelum majlis pernikahan ianya dibatalkan. Kasihan kedua-dua belah pihak dengan persiapan yang telah dibuat, tapi jodoh itu ketentuan Tuhan.

Seperti biasa akan banyak keluar kenyataan-demi kenyataan dari kedua-dua belah pihak. Awi kata dia yang putuskan, tetapi ayah kepada Atikah pula menafikan dan mengatakan dia sebagai ayah yang memutuskan.
Pusingan kisah putus tunang ini seolah-olah terjadi kembali. Seperti juga dengan selebriti-selebriti yang terdahulu yang putus tunang sebelum sampai ke pelamin. Mesti ada yang mahu keluarkan cerita dan memberi sebab. Adalah cerita makcik dan pakcik bawang untuk berseronok hujung minggu ni.

Mesti ada yang tanya kenapa saya perlu ungkit balik kisah-kisah lama artis yang putus tunang sebelum ini? Kenapa nak letak gambar pertunangan Sufian dan Elfira, serta Dazrin dan Amyra Rosli kembali? Kenapa nak ungkit balik? Benda yang lepas biarkanlah berlalu.
Sebenarnya malam tadi bila pulang dari kerja, ada beberapa teman yang ajak bertemu untuk sesi teh tarik. Seperti biasa, saya tahu sesi teh tarik ni mesti antara sesi untuk bertanyakan hal-hal artis. Saya nak kongsikan sedikit rahsia, lelaki bila membawang sebenarnya lagi dasyat! Hahaha.

Kembali kepada kenapa gambar-gambar artis yang putus tunang sebelum ini saya letakkan kembali. Sebenarnya ada seorang teman yang sedikit ‘emosi’ dengan golongan artis ini, terutamanya bab bertunang.
“Dorang ni kalau bertunang, mengalahkan majlis kahwin. Bergambar macam dah halal. Ke sana ke mari macam dah suami isteri.
“Tak boleh ke bila bertunang tu tak payah nak besar-besarkan cerita sangat? Sekarang bila dah putus, satu dunia tak tahu nak tutup muka kat mana,” jelas teman saya yang saya katakan tadi sedikit emosi sambil memberikan contoh beberapa orang artis yang ‘gagal’ di tengah jalan.
Apa yang saya boleh katakan adalah jodoh dan ajal itu rahsia Tuhan. Kita hanya boleh merancang tapi perancangan Yang Esa lebih besar.

Mungkin orang yang mereka temui pertama kali itu, lalu bertunang bukanlah jodoh yang ditetapkan untuk mereka. Mungkin ada jodoh yang lebih baik dan lebih sepadan buat mereka. Malah, mereka yang putus tunang sebelum ini pun ada yang sudah bertemu pasangan masing, masing, bernikah dan ada yang sudah pun punya cahaya mata.
Tentang majlis pertunangan yang dibuat besar-besaran, susah untuk saya beri komen kerana masing-masing adalah selebriti. Dibuat tertutup mungkin ada yang marah, dibuat terbuka juga orang marah. Jadi mereka sendiri berada di persimpangan, walaupun saya sedikit bersetuju dengan pendapat teman saya yang emosi itu.
Apa-apa pun kita doakanlah yang terbaik. Bukan sahaja untuk mereka tapi untuk diri kita sendiri juga. Macam yang saya tulis kat atas sana, kita hanya boleh merancang, tetapi kita semua tahu bahawa jodoh dan ajal itu rahsia Allah SWT.
Al-Fatihah buat pelajar cemerlang SPM dari Pendang, Kedah, Allahyarham Muhammad Hakimie Ifwat Sabarudin, yang maut dalam kemalangan selepas mengambil keputusan SPM. Tahun lalu, seorang pelajar cemerlang SPM yang mendapat 10A dari Bachok, Kelantan, Allahyarham Mohamad Iqbal Hafiz Mohamed Kauli juga meninggal dunia dalam perjalanan untuk mengambil keputusan SPM.
Jodoh dan ajal rahsia Allah SWT.
Jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Google
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.